AS Digesa Keluarkan Malaysia Daripada Senarai ‘K’

KUALA LUMPUR – Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator ‘K’ seperti diumumkan dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 9 April lalu.

Justeru, Kementerian Luar (Wisma Putra) menggesa negara itu supaya segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu dan akan memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan baharu itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memberitahu indikator itu menunjukkan kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Kementerian itu berkata, nasihat perjalanan baharu itu dilihat kurang objektif dan tidak mencerminkan hakikat sebenar di lapangan khusus situasi keselamatan di wilayah timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini bersandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, iaitu memcecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan telah menurun secara ketara kepada hampir sifar,” katanya.

Menurutnya, kawasan timur Sabah terus menarik penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu adalah hasil langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia seperti meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa Amerika Syarikat segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” katanya.

Loading...