Artis ‘Baru Nak Up’ Ditahan Polis

PENYANYI lelaki yang juga komposer lagu berbakat ditahan polis selepas bertindak mencekik seorang pekerja sebuah stesen minyak di Ampang, semalam.

Dalam kejadian sekitar 4 petang semalam, penyanyi berusia 21 tahun itu ditahan anggota polis selepas kejadian itu dimaklumkan oleh pengurus stesen minyak berkenaan.

Seorang saksi berkata, kejadian berlaku ketika artis terbabit muncul di premis itu untuk mengisi petrol kenderaannya.

“Bagaimanapun berlaku salah faham ketika artis itu mahu membuat bayaran terhadap minuman yang mahu dibeli.

“Difahamkan artis itu mahu membuat bayaran menggunakan kad kredit, namun kaedah pembayaran itu tidak diterima oleh kakitangan stesen minyak itu,” katanya.

Menurutnya, artis itu yang tidak berpuas hati kemudian menyerang kakitangan lelaki terbabit serta mencekik leher mangsa.

“Melihat keadaan menjadi tidak terkawal, pengurus stesen minyak itu bertindak segera menghubungi polis.

“Anggota unit peronda polis (MPV) yang muncul di lokasi tidak lama kemudian cuba menenangkan keadaan.

“Bagaimanapun tindakan polis mahu mendapatkan kerjasama baik artis terbabit gagal apabila lelaki itu enggan menunjukkan Mykad bagi tujuan siasatan.

“Malah, tindakan artis itu mencabar anggota polis bertugas menyebabkan polis terpaksa menahan dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Difahamkan artis terbabit sudah dibawa ke mahkamah untuk perintah tahanan reman bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam melakukan tugas. – myMetro Online

Loading...