Arsenal Kenal Pasti ‘Pembaling Botol’

LONDON – Arsenal mengesahkan mereka sudah mengenal pasti imej individu yang membaling botol kepada pemain Tottenham Hotspur, Dele Alli ketika…

LONDON – Arsenal mengesahkan mereka sudah mengenal pasti imej individu yang membaling botol kepada pemain Tottenham Hotspur, Dele Alli ketika Spurs menang 2-0 dalam saingan suku akhir Piala Liga, Rabu lalu.

Pemain tengah England itu – yang meledak jaringan menarik untuk gol kedua Spurs terkena balingan botol yang tepat ke kepalanya, ketika dia cuba melakukan lontaran bola ke dalam padang, pada minit ke-73.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Arsenal menegaskan, seluruh kelab terganggu serta kesal dengan insiden itu dan menyifatkan ‘perbuatan seperti itu tidak layak berada di Stadium Emirates,”

The Gunners meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengesahkan mereka sudah mengenal pasti gambar suspek.

Arsenal juga sudah mengenal pasti identiti penyokong terbabit dan menyerahkan maklumat berkaitan kepada polis untuk tindakan susulan, dan pada masa sama, individu itu bakal berdepan hukuman disenarai hitam oleh kelab.

“Kami bekerjasama dengan Polis Metropolitan dan siasatan sedang dijalankan untuk tindakan seterusnya,” kata Arsenal dalam satu kenyataan.

Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino memuji tindak balas Alli apabila pemain itu menunjukkan isyarat baki masa perlawanan yang masih ada kepada penyokong Arsenal.

“Itu satu reaksi yang menakjubkan,” kata Pochettino dalam sidang media.

“Di negara lain, mungkin pemain terbabit akan mencetus masalah lain. Dele sangat baik dan profesional, dia berkelakuan sangat bagus. Itu perbuatan yang cukup terhormat.

“Kadang kala, ada yang mengkritik kelakuan Dele yang ada masanya cemerlang dan ketikanya merosot ketika beraksi di padang, namun untuk insiden ini, pujian harus diberikan kepadanya,”

Insiden itu berulang selepas penyokong Spurs diharamkan ke stadium selama empat tahun, selepas didapati bersalah membaling kulit pisang kepada pemain Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang ketika kedua-dua pasukan bertembung, awal bulan ini. – AFP