Arahan DBKL Pindah Kenderaan Tidak Wajar – Takiyuddin

PAS menyifatkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan termasuk memindahkan semua kenderaan rasmi yang berada di menara berkenaan ke Jalan Cheras, adalah tidak wajar.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata arahan dibuat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu boleh menimbulkan keresahan kepada rakyat.

Katanya, beliau menerima salinan surat dikeluarkan DBKL pada Selasa lalu memaklumkan beberapa arahan seperti semua jabatan di Menara DBKL 1 dan 2 ditutup pada Sabtu ini.

“Selain itu, kenderaan rasmi jabatan ditempatkan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal di Jalan Cheras dan semua kontraktor pembersihan serta ubahsuai pejabat tidak dibenarkan menjalankan sebarang kerja pada hari berkenaan sebagai langkah keselamatan.

“Kami menegaskan himpunan berkenaan (membantah ICERD) bukan untuk menimbulkan provokasi sebaliknya ia adalah himpunan aman.

“DBKL tidak sepatutnya mengeluarkan arahan sedemikian selaku PBT. DBKL sepatutnya menjamin keselamatan dan membenarkan anggotanya bertugas, bukannya mengeluarkan arahan seolah-olah kami mahu melakukan provokasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Ceramah Grand Finale Himpunan Aman Rakyat Membantah ICERD di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari

Sementara itu, Annuar berkata, kerajaan perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian tidak diingini esok kerana mengadakan dua himpunan besar dengan lokasi agak dekat.

Katanya, walaupun dua himpunan itu diadakan dua lokasi berlainan, namun perlu diingat penyokong masing-masing mungkin menggunakan pengangkutan sama yang boleh menimbulkan provokasi.

“Hari hak asasi sedunia adalah Isnin dan mereka boleh mengadakan himpunan pada hari lain iaitu Ahad atau Isnin.

“Mereka mengumumkan untuk mengadakan himpunan hak asasi itu selepas kami mendapat permit untuk mengadakan himpunan aman bantah ICERD.

“Namun di pihak himpunan aman, kami berusaha supaya semuanya berjalan secara aman dan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, mungkin ia sudah dirancang oleh pihak tertentu,” katanya. – myMetro Online

Loading...