Arab Saudi Dedah Senarai ‘Pengganas’ Qatar

RIYADH – Arab Saudi dan negara sekutunya yang memutuskan hubungan dengan Qatar, mengeluarkan senarai didakwa ada hubungan dengan pemerintah Doha untuk aktiviti keganasan.

“Senarai ini dikaitkan dengan Qatar. Ia menunjukkan agenda meragukan dasar bermuka-muka kerajaan negara ini,” kata kenyataan bersama Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Bahrain.

Katanya, senarai tersebut menunjukkan Qatar mengumumkan perang terhadap keganasan, tetapi pada masa sama masih lagi menyumbang dana, menyokong dan melindungi pengganas.

Senarai itu membabitkan 59 individu dan 12 entiti berkumpulan masing-masing dari Mesir, Bahrain dan Libya yang dikatakan ada kaitan secara langsung dengan organisasi pengganas berbeza.

Baca: Qatar Bayar Pengganas AS$1 Bilion Bebas 26 Tebusan

Antaranya ialah dua warga Qatar sendiri, Sa’d al-Ka’bi dan Abd al-Latif al-Kawari yang pernah turut disenaraikan sebagai pengganas oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 2015 lalu.

Riyadh ketika mengumumkan putus diplomatik dengan Doha pada Isnin lalu mendakwa negara jirannya itu sering biayai aktiviti badan pengganas termasuk Ikhwanul Muslimin, Daesh dan Al-Qaeda.

Sementara itu, Qatar memberi jaminan tidak menyerah kalah dalam dasar luarnya, susulan pertikaian negara Arab lain membabitkan dakwaan hubungannya dengan puak pelampau tertentu.

Menteri Luarnya, Sheikh Mohammed din Abdulrahman al-Thani, berkata beliau lebih gemar krisis itu diselesaikan menerusi dialog dan tiada penyelesaian ketenteraan. – AFP/myMetro Online

Loading...