Apple, Google Dikecam Bantu Diskriminasi Wanita

SAN FRANCISCO – Syarikat teknologi gergasi, Apple dan Google, berhadapan kritikan keras daripada aktivis hak asasi manusia kerana memasukkan aplikasi yang membolehkan lelaki Arab Saudi mengesan dan mengawal pergerakan wanita.

Menurut laporan Insider Jumaat lalu, aplikasi dinamakan ‘Absher’ itu membolehkan lelaki memberi kebenaran kepada wanita untuk keluar, dan juga mendapat mesej teks apabila wanita menggunakan pasportnya di sempadan.

Dengan menjadikan aplikasi itu boleh didapati di Google Play dan App Store, kedua-dua firma beribu pejabat di Amerika Syarikat itu dituduh menggalakkan prejudis terhadap wanita dan membantu ‘mengukuhkan aparteid jantina’.

Amnesty International, Human Rights Watch, dan seorang aktivis hak wanita menggesa Apple dan Google mempertimbangkan semula tindakan memasukkan aplikasi itu, lapor Insider.

Menurut undang-undang Arab Saudi, wanita perlu ada penjaga sah yang boleh mengehadkan perjalanannya.

Ketika Absher, yang juga perkhidmatan kerajaan, menawarkan beberapa fungsi lain seperti membayar denda letak kenderaan, paparan perjalanannya disasarkan aktivis kerana ia menyukarkan wanita meninggalkan Arab Saudi.

“Apple dan Google mempunyai peratusan menentang aplikasi yang memudahkan ancaman dan gangguan.

“Aplikasi seperti ini memudahkan pencabulan hak asasi manusia, termasuk diskriminasi terhadap wanita,” Human Rights Watcs dipetik sebagai berkata.

Amnesty International pula menuntut Apple dan Google mengubah aplikasi itu supaya ia tidak digunakan untuk memberi masalah kepada wanita. — Agensi