APMM Tahan 57 Bot Nelayan Asing Di Perairan Sarawak

KUCHING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan 57 bot nelayan asing yang menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan Sarawak sehingga November tahun ini, kata Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan.

Beliau berkata kebanyakan bot nelayan yang ditahan itu berada kira-kira 50 batu nautika dari perairan Bintulu dan Miri.

“Tiga kawasan panas yang telah kita kenal pasti ialah perairan Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

“Berdasarkan statistik tangkapan, warga Vietnam mencatatkan jumlah tertinggi memandangkan sempadan perairan Malaysia dan Vietnam agak dekat,” katanya pada sidang media selepas Latihan Penembakan Senjata Kecil Maritim Bersama Media di Lapang Sasar, Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Semenggo di sini, hari ini.

Beliau berkata tangkapan sehingga November tahun ini mencatatkan pengurangan sebanyak 51 tangkapan berbanding 108 tangkapan pada tahun lepas.

“Ini adalah hasil daripada usaha APMM yang giat melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan Malaysia bagi mengekang bot-bot nelayan asing.

“Selain itu, APMM turut memantau dari Sistem Pengenalan Automatik (AIS), bot yang berada di perairan yang dapat kita kenal pasti dengan mudah,” katanya.

Seramai 12 orang pengamal media menyertai latihan menembak bersama Maritim bagi memberikan pendedahan tentang cara mengendalikan senjata di samping meningkatkan kemahiran menggunakan senjata dalam kalangan anggota dan pegawai Maritim. – BERNAMA

Loading...