APMM Tahan 5 Nelayan Tempatan Di Kuala Perlis

KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima nelayan tempatan dan merampas sebuah bot kelas A kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 1.9 batu nautika dari pantai Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata empat awak-awak dan seorang tekong ditahan, kira-kira 9.20 malam tadi oleh APMM yang membuat rondaan di perairan Perlis dan Kedah.

Katanya, bot tersebut didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

“Kesemua nelayan berumur 29 hingga 51 tahun itu adalah dari Kuala Kedah, Kedah dan hanya dibenarkan menangkap siput di kawasan perairan Kedah sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

APMM juga meminta kerjasama dari orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini dengan menghubungi talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” tambahnya. – BERNAMA

Loading...