Aplikasi MyPesara Terima Peningkatan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) memperkenalkan aplikasi telefon pintar MyPesara fasa kedua yang dipertingkatkan, membolehkan pengguna menggunakan pelbagai fungsi baharu.

Pengarah Jabatan Strategi dan Prestasi Korporat KWAP Ismail Zakaria berkata fungsi baharu aplikasi berkenaan akan membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan pengurusan kewangan, kesihatan dan program manfaat daripada peniaga (merchant) yang mengambil bahagian.

“Pada ketika ini, aplikasi ini mempunyai 58,000 pengguna dan diharap ia meningkat kepada 60,000 pengguna menjelang akhir tahun ini serta berharap untuk menggandakan jumlah itu pada 2019,” katanya ketika sidang media memperkenalkan fasa kedua aplikasi itu, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Othman menyampaikan ucapan untuk memperkenalkan fungsi baharu aplikasi berkenaan.

Turut diadakan pada majlis itu ialah pengenalan kepada peniaga yang mengambil bahagian dalam fungsi program manfaat aplikasi itu, iaitu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Alpro Pharmacy, Celcom, Domino’s Pizza, Grab Malaysia, Hire.Senior, KPJ Healthshoppe, KPJ Sentosa, Mydin dan Mynews.com.

Ismail berkata menerusi program manfaat yang baharu diperkenalkan itu, pengguna boleh mendapatkan kupon dan diskaun untuk makanan, produk kesihatan, perjalanan serta pelbagai produk lain.

Beliau berkata KWAP juga akan memperbanyakkan jumlah peniaga yang mengambil bahagian termasuk sebuah rangkaian kedai buku dan sebuah syarikat farmasiutikal yang akan tersenarai dalam masa terdekat.

Ismail turut menjelaskan walaupun applikasi ini memberi fokus kepada pesara kerajaan berusia 60 hingga 70 tahun sebagai penggunanya, ia sebenarnya boleh digunakan oleh semua individu termasuk ahli keluarga pesara, penjaga pesara dan kakitangan kerajaan yang masih berkhidmat.

Antara fungsi baharu lain yang diperkenalkan ialah butang kecemasan bagi membolehkan pesara memaklumkan lokasi mereka kepada anggota keluarga dalam kes kecemasan dan rekod perubatan mudah alih untuk memantau pengambilan air, glukosa, ubat dan tekanan darah secara harian.

“Aplikasi ini dengan fungsi baharu boleh mula dimuat turun mulai 22 Nov ini,” katanya. – BERNAMA