Apabila ADUN Gambir Berbicara

SAYA mengakhiri artikel saya sebelum ini yang bertajuk “A fine line between democracy and kakistocracy” dengan satu kata hikmat. “Jika seorang yang lumpuh membuat keputusan untuk berlari dan seorang yang sihat pula tidak mahu bergerak, maka mereka berdua tidak akan sampai ke mana-mana.” Kata hikmat ini merupakan cerminan hasrat pembangkang Negeri Johor, untuk mahu bersama membina keupayaan negeri di dalam sistem dan nilai demokrasi yang subur, namun tidak dipandang serius oleh kerajaan negeri.

Sidang Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor yang ke-14 sudah pun berakhir. Perbahasan demi perbahasan serta soal lisan telah saya teliti dan amati. Ada beberapa perkara yang perlu saya ulas, pertama, dalam kacamata seorang ahli politik pembangkang dan kedua, sebagai seorang Melayu-Muslim di Johor.

Jika kita lihat hujah-hujah sesetengah YB EXCO kerajaan Negeri Johor sekarang, saya berasa amat kecewa. Rata-rata mereka memberikan jawapan separuh masak dan setakat melepaskan batuk di tangga. Kita boleh menilai sendiri jawapan ‘orang buat kerja’ atau mereka yang hanya membaca dari teks yang disediakan.

Dalam keserabutan argumen-argumen yang ada, perbahasan YB Gambir, Tan SriHaji Yassin telah menarik perhatian saya. Beliau telah mencadangkan beberapa perkara iaitu mengatasi kerenah birokrasi program dan inisiatif kerajaan. Cadangan ini amat baik, apabila kita melihat mekanisme pelaksanaan Janji 100 Hari Pakatan Harapan yang tidak komprehensif, tidak demokratik dan tidak mesra rakyat. Contohnya, tiada laman sesawang yang berfungsi dan saluran-saluran penyampaian maklumat lain yang diwujudkan bagi menghebahkan pelaksanaan manifesto mereka. Borang permohonan juga perlu diambil secara fizikal daripada satu pihak yang demikian berkemungkinan terdedah kepada unsur kronisme. Kata dulang paku serpih, kata orang, dia yang lebih.

Kedua, beliau mahu sokongan memudah cara bagi pembangunan di Bandar Universiti Pagoh. Pada hemat saya, pembangunan ini bukan sahaja dalam sudut fizikal namun perlu selaras dengan pembangunan intelektual dan akhlak penuntut-penuntut ilmu di sana yang berjumlah sekitar 15, 000 orang. Ini adalah peluang kerajaan negeri untuk membuktikan keseriusan mereka dalam menyemai nilai dan amalan demokratik di Johor. Jadikan Bandar Universiti Pagoh sebagai katalis demokrasi matang dengan memberi ruang bagi ahli politik kerajaan dan pembangkang untuk berdiskusi bersama penuntut di sana tanpa sebarang halangan.

Ketiga, saranan beliau untuk kerajaan negeri sentiasa mengamalkan prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik, mendukung undang-undang, mengelakkan rasuah, dan campur tangan tidak munasabah daripada mana-mana pihak, amat saya setujui. Meskipun beliau bercakap dalam konteks hubungan kerajaan negeri dengan pelabur, namun saya berfikir, elok jika prinsip-prinsip ini didukung oleh pelbagai lapisan pentadbiran awam negeri, ahli-ahli politiknya serta penguasa yang paling tertinggi negeri. Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, dek kerana kegagalan para pemimpin dan penguasa untuk menghayati prinsip-prinsip di atas, banyak institusi berkepentingan umum sudah rosak dan dinodai.

YB Gambir juga menyatakan cadangan agar kerajaan negeri melaksanakan Reformasi Perkhidmatan Awam, dengan menekankan para kakitangan awam harus merubah pendekatan mereka selari dengan hasrat kerajaan negeri pada hari ini. Kami di pihak pembangkang menerima cadangan ini dan berharap penjawat awam negeri akan menjadi lebih terbuka, berani dan berintegriti sesuai dengan semangat ‘Malaysia Baru’.

Yang terakhir, beliau berhasrat agar kerajaan negeri mempertimbangkan penubuhan Majlis Ekonomi Johor. Majlis ini perlu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang berpengalaman di dalam ekonomi dan industri dalam pelbagai sektor. Ini membolehkan majlis ini merancang untuk membawa lebih banyak pelaburan dan industri demi kerancakan ekonomi Johor. Ekonomi Johor telah dan akan berkembang dengan amat pesat sekali. Pertumbuhan ekonomi kita lebih tinggi daripada kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nasional iaitu pada 6.2% bagi tahun 2017. Sejak tahun 2015 pula, industri pembuatan di Johor telah berkembang lebih cepat daripada kadar nasional. Bermula dari 2013, untuk 5 tahun berturut-turut, negeri ini telah menerima jumlah pelaburan paling banyak, yang secara puratanya berjumlah RM 23 bilion.

Yang demikian adalah fakta yang sedikit daripada berpuluh pencapaian ekonomi kita. Perlu wujudnya pelan rancangan dan pelaksanaan yang komprehensif bagi memacu dan mengekalkan Johor sebagai destinasi pelaburan utama negeri Johor. Maka cadangan YB Gambir bagi menubuhkan Majlis Ekonomi Johor amat saya alu-alukan.

Namun begitu, saranan saya bagi majlis ini adalah, ia juga harus membincangkan masalah kesenjangan sosio-ekonomi antara kaum di Johor seperti jurang pendapatan yang semakin ketara di antara luar bandar dan bandar. Perihal tenaga kerja terlatih dan tidak terlatih dalam kalangan orang muda Johor juga mesti diwacanakan, dengan memberi syor-syor yang munasabah bagi pertimbangan kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan.

Terpaksa ‘settle for lesser than less’.

Sepatutnya Tan Sri Muhyiddin Haji Yassin yang menjadi Menteri Besar Johor, namun oleh kerana beberapa kekangan yang dialami beliau, negeri ini terpaksa ‘settle for lesser than less’. Kita mempunyai banyak potensi yang boleh diterokai dan dibangunkan, namun sebuah kerajaan kakistokrasi membantutkan semua usaha tersebut.

Benarlah kata orang, pokok gambir itu sendiri banyak gunanya. Selain telah memacu pertumbuhan ekonomi negeri Johor suatu ketika dahulu, daripada daun sehingga hampasnya, sentiasa memberi manfaat kepada makhluk sekeliling. YB Gambir telah memberikan banyak hikmah dan manfaat kepada negeri Johor, meskipun dikelilingi barisan kepimpinan negeri yang tidak berpengalaman, amatur, tidak cekap dan yang amat malang lagi, kerajaan yang masih berlagak seperti pembangkang.

Datuk Ir. Hasni Mohammad
Ketua Pembangkang Negeri Johor
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor

Loading...