Apa Yang Perlu Anda Tahu Usul Undi Tidak Percaya

KUALA LUMPUR – Menjelang persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung selama 27 hari bermula 2 November hingga 15 Disember ini, isu undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hangat diperkatakan.

Sebanyak 16 usul mengenai perkara itu dilapor telah dikemukakan oleh 16 ahli Parlimen, iaitu 11 daripada Amanah dan lima daripada Parti Pejuang Tanah Air, kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Memetik kenyataan pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz, dalam sejarah Malaysia, usul undi tidak percaya tidak pernah dikemukakan di Dewan Rakyat namun pernah berlaku pada persidangan Dewan Undangan Negeri iaitu di Kelantan pada 15 Oktober 1977.

Beliau turut memperincikan beberapa persoalan mengenai usul undi tidak percaya seperti  adakah jumlah tertentu diperlukan bagi usul itu disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Katanya Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat tidak mensyaratkan jumlah tertentu untuk membolehkan sesuatu usul dimasukkan dalam agenda persidangan.

“Pada persidangan lepas, (Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah membuat cadangan usul undi tidak percaya, dan usul tersebut telah tersenarai dalam agenda mesyuarat tetapi tidak dibahaskan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau serta turut disiarkan oleh Tinta Minda portal Bernama.com.

Mengenai sebab usul sedemikian diletak pada bahagian bawah senarai Aturan Urusan Mesyuarat, beliau berkata ini disebabkan usul itu adalah usul persendirian dan tidak mewakili kerajaan.

Peraturan 15(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat jelas menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan, mengatasi urusan lain, serta diatur mengikut pertimbangan kerajaan, katanya.   

Namun menurut Shamrahayu, pembentangan usul persendirian boleh didahulukan sekiranya usul tersebut diangkat oleh seorang menteri seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 14(2) peraturan berkenaan. 

“Ini pernah berlaku apabila menteri mengangkat agenda pembentangan Rang Undang-Undang 355 (Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965) sehingga membolehkan rang undang- undang persendirian yang dibawa oleh (Ahli Parlimen) Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) telah dibaca. Walaupun begitu, perkara ini sukar untuk dilakukan,” katanya.

Mengenai usul yang mahu usul undi tidak percaya itu didahulukan  atas alasan isu tersebut adalah urusan penting dalam menentukan keabsahan lantikan perdana menteri, Shamrahayu berkata perkara berkenaan boleh dilakukan sekiranya mendapat persetujuan majoriti ahli Dewan Rakyat.    

Beliau juga berkata Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat boleh dipinda termasuk bagi mengadakan peruntukan khusus tentang usul undi tidak percaya. 

“Standing Order (Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat) ini bukan akta tetapi bersifat peraturan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara, tiada apa (peraturan) yang boleh mengatasinya. Oleh itu, peraturan ini juga tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.

Menurut Shamrahayu, usul undi tidak percaya dikemukakan atas beberapa faktor termasuk perdana menteri tidak layak memegang jawatan itu atas sebab ketidakbolehan melaksanakan tugas;  membuat keputusan merugikan atau membawa kesan buruk kepada negara; atau berlaku keadaan luar biasa seperti lompat parti.  

Undi tidak percaya boleh berlaku dalam beberapa keadaan, iaitu undi secara formal di Dewan Rakyat; rang undang-undang kerajaan tidak diluluskan pada bacaan kedua dan/atau ketiga; perdana menteri gagal mendapatkan undi percaya setelah mengemukakan usul undi percaya; kerajaan gagal dalam pelaksanaan dasar penting serta keadaan luar biasa seperti lompat parti atau ahli Dewan Rakyat yang berkenaan memaklumkan kepada ketua negara (Yang di-Pertuan Agong) kerana bertukar keyakinan.

Meskipun begitu, beliau berkata ada pandangan bahawa perdana menteri yang menerima undi tidak percaya berpeluang untuk kembali mendapatkan undi percaya selepas satu jangka masa yang munasabah. – BERNAMA

Loading...