“Apa Yang Dia Cakap Dalam Video Tu Semua Tak Betul”

SEBELUM ini, tular di media sosial rakaman seorang wanita warga Malaysia yang mendakwa telah diceraikan oleh suaminya dan ingin pulang ke tanah air bersama dua anak kecilnya.

Dakwa wanita yang dikenali sebagai Irnani Osman itu, dia kini berada di Jeddah, Arab Saudi dan sedang sarat mengandung empat bulan sebelum diceraikan suami kira-kira tiga bulan lalu, sehingga terpaksa menumpang di rumah rakan-rakannya di sana.

Kaitan: “Ini Jalan Terakhir Saya, Bantulah Kami Pulang”

Malah wanita itu mengatakan segala dokumen berkaitan seperti visa dan dokumen anak-anaknya berada di tangan suami, manakala pihak konsulat Malaysia kononnya tidak dapat membantunya untuk pulang ke tanah air.

Tidak adil untuk mendengar dari satu pihak saja, suami kepada Irnani, Azmi Junaidi tampil memberi penjelasan terhadap dakwaan tersebut.

“Saya sengaja senyap untuk melihat sejauh mana viral ini akan pergi dan siapa yang akan komen. Hanya Allah yang tahu siapa yang benar dan sebaliknya.

“Urusan Visa itu boleh dibuat secara online. Pihak konsulat sudah uruskan semua. Cuma Irnani ini nak bypass semua level, uruskan tanpa mahu mengikut prosedur selain tidak mahu bawa berbincang.

“Semua yang dia fikir dan nak buat, dia ingat boleh redah begitu sahaja tanpa mengikut prosedur.

“Kalau saya dera anak-anak, tak akan sihat dan chubby seperti dalam video yang saya rakam semalam bila dia dan anak-anak ada dalam rumah yang saya sediakan,” kata suaminya yang memetik sumber.

Kenyataan suami Irnani turut mendapat sokongan dari seorang netizen Malaysia yang menetap di Jeddah dikenali sebagai Abie Hafizadic.

Menurutnya, luahan Irnani dalam video yang tular di kalangan pengguna media sosial itu adalah tidak benar.

Jelasnya, Irnani sebenarnya tidak menumpang di mana-mana rumah rakan seperti yang didakwa dan masalah yang dihadapi oleh wanita berkenaan sememangnya mendapat perhatian konsulat Malaysia di Jeddah.

"Apa Yang Dia Cakap Dalam Video Tu Semua Tak Betul"

Menurutnya, komuniti Malaysia di negara Timur Tengah itu sangat rapat dan mereka sering mengadakan pertemuan setiap minggu dengan anak-anak Irnani bersama suaminya.

Apa-pun, kami masih tidak dapat memastikan apakah konflik sebenarnya yang berlaku di antara pasangan ini mahupun netizen sudah kecoh dengan spekulasi dan pelbagai andaian mereka sendiri.

Kami berharap, netizen tidak menuding jari terhadap suami wanita terbabit, sebaliknya mendoakan yang terbaik buat mereka dan dipermudahkan segala urusan. – MYNEWSHUB.CC