Apa Sudah Jadi Dengan Titah Sultan Selangor?

KUALA LANGAT – Apa sudah jadi dengan titah Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Idris Shah, yang mahu papan tanda jalan di negeri ini hanya menggunakan bahasa Melayu sahaja selaku bahasa kebangsaan.

Ini selepas titah tersebut seolah-olah tidak diambil peduli khususnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila papan tanda jalan di Tanjong Sepat di bawah kawasan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) ditulis dalam bahasa Cina.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hampir keseluruhan papan tanda jalan di dalam kawasan pekan Tanjong Sepat itu yang mempunyai lebih 10 lorong memaparkan tulisan Cina.

Bukan itu sahaja, jalan utama memasuki pekan Tanjong Sepat itu yang tertulis Jalan Barat juga mempunyai tulisan Cina.

Malah, selain papan tanda jalan dalam tulisan Cina, papan tanda ucapan selamat datang ke Tanjong Sepat Indah yang terdapat di jalan utama ke pekan tersebut tidak terkecuali ditulis dalam tulisan Cina.

Sebelum ini, pada 19 November tahun lalu, apabila timbulnya kontroversi papan tanda jalan dalam bahasa Cina di Shah Alam, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya semua papan itu digantikan dengan papan tanda jalan bahasa Melayu sahaja.

Titah itu disampaikan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, menerusi surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam. – UTUSAN ONLINE

Loading...