Apa Jua Keputusan, Kerajaan Perlu Jaga Kepentingan FGV

KUALA LIPIS – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan kerajaan supaya apa juga tindakan untuk menyelesaikan masalah aliran tunai Felda, ia perlu juga menjaga kepentingan FGV Holdings Berhad (FGV).

Katanya, apa juga keputusan itu seharusnya memastikan saham FGV selaku syarikat swasta berada di tahap yang tinggi serta tidak menjejaskan FGV sebagai satu entiti.

“Hutang sebenarnya disebabkan tanaman semula dan memang dahulu kita ada ‘arrangement’ (persetujuan) dengan FGV kerana mereka menyewa tanah Felda… tetapi apa pun, ini adalah tanggungjawab kerajaan.

“Masa kerajaan Barisan Nasional (BN), kita dalam proses meluluskan permohonan Felda mendapatkan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM4 bilion untuk menjalankan tanggungjawab membangunkan kawasan Felda,” katanya.

Najib berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Sekampung di Felda Sungai Koyan 1 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilaporkan media hari ini, bahawa kerajaan akan mempertimbangkan syor Felda mengambil alih semula lebih 350,000 hektar tanah miliknya yang dipajakkan kepada FGV bagi mengatasi masalah aliran tunai dan beban hutang tinggi yang dihadapinya.

Mohamed Azmin bagaimanapun menambah kerajaan akan melihat dan meneliti semua perjanjian pajakan aset itu yang perlu dilakukan melalui rundingan perundangan dan aspek berkaitan seperti kos yang diperlukan terlebih dahulu.

Loading...