Apa Faedahnya Saya Cipta Kontroversi? – Fizo Omar

NAMA pelakon dan ahli perniagaan, Fizo Omar sekali lagi menjadi sebutan gara-gara kini namanya semakin hangat diperkatakan di media sosial gara-gara video viral kopi yang direbutkan pelanggannya.

Menafikan dia sengaja mencari publisiti, Fizo menegaskan apa yang dilakukannya adalah untuk memenuhi kehendak pelanggan yang menyokong selama ini.

“Apa faedahnya saya cipta kontroversi? Saya yakin setiap orang ada bahagian masing-masing, jadi tidak perlulah saya nak tarik perhatian dengan cara begitu.

“Saya bukan sengaja nak mencari publisiti dengan membuat kontroversi seperti yang didakwa. Mereka yang tidak berada di tempat saya boleh cakap macam-macam tanpa mengetahui kedudukan sebenar,” katanya memetik sebuah akhbar.

Fizo yang merupakan Ketua Bahagian Pemasaran Fareeda Global Resources, turut menjelaskan isu perebutan kopi seperti yang disebarkan sebelum ini.

Menurutnya, pelanggannya bukan datang semata-mata untuk mendapatkan kopi tersebut sebaliknya mahu ‘mengejar’ nombor giliran bagi mendapatkan koleksi terbaharu tudung Fareeda.

“Memang kami ada menyediakan kopi Boran dari Fizomawar Kitchen khas buat pengunjung. Mereka datang untuk mengambil nombor giliran bagi membeli koleksi terbaharu tudung Fareeda iaitu Princess of Persia.

“Saya dan pihak Fareeda sendiri peka dengan insiden yang pernah berlaku sebelum ini. Kami sedaya upaya memperbaiki tahap pengurusan syarikat bagi memudahkan pembeli,” ujarnya lagi.

Sering dikritik, Fizo melahirkan perasaan terkilannya terhadap sebilangan pihak yang tidak berhenti mencemuh dan melabelkan dirinya seorang yang gilakan publisiti murahan.

Menurut pelakon berusia 31 tahun itu, seharusnya pengguna laman sosial perlu meneliti terlebih dahulu sesuatu informasi yang diperoleh sebelum disebarkan kepada pihak lain. – MYNEWHSUB.CC

Loading...