Apa Faedahnya Kepada Lim Guan Eng?

APA FAEDAH LIM GUAN ENG DAPAT BILA DIA MINTA AG BATALKAN ARAHAN PEMBEKUAN KE ATAS 4 AKAUN BANK MILIK TAN SRI LIM SOON PENG?

Mengikut laporan portal berita Free Malaysia Today, Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan telah, pada bulan Mei 2019, meminta Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas, untuk membatalkan arahan pembekuan ke atas 4 akaun bank milik seorang jutawan hartanah dipercayai bernama Tan Sri Lim Soon Peng dan permintaan ini ditunaikan oleh Tan Sri Tommy Thomas yang mengarahkan SPRM melakukannya dalam tempoh dua minggu walaupun SPRM memaklumkan kepada Tan Sri Tommy Thomas bahawa wang bernilai RM3.9 juta belum boleh diperolehi.

Laporan portal berita Free Malaysia Today ini telah segera disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, yang dilaporkan menyebut: “Ahli politik terbabit (Lim Guan Eng) telah menggunakan pengaruh beliau untuk membolehkan Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Tommy Thomas) mengeluarkan arahan agar SPRM melepaskan keempat-empat akaun milik taikun berkenaan (Tan Sri Lim Soon Peng)… SPRM akan melihat isu kebocoran butir-butir sulit penyiasatan didedahkan kepada ahli politik untuk kepentingan pihak yang disiasat.”

Dalam reaksi segera beliau, Lim Guan Eng dilaporkan oleh portal berita Malaysia Kini sebagai tidak menafikan laporan portal berita Free Malaysia Today ini. Sebaliknya beliau dilaporkan sebagai berkata “(sewaktu beliau menjadi Menteri Kewangan) kes-kes yang tidak berada di bawah bidang kuasa beliau dirujuk ke pihak berkuasa berkaitan”, “adalah satu kesalahan sekiranya beliau tidak merujuk kes-kes berkenaan ke pihak berkuasa yang berkaitan” dan “beliau percaya Tan Sri Tommy Thomas telah bertindak dengan sewajarnya setelah kes berkenaan dirujuk ke AGC”.

Laporan ini segera mengingatkan saya kepada empat pertuduhan rasuah yang dihadapi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap kesalahan oleh Hakim Datuk S Augustine Paul pada 14 April 1999, iaitu:

(1) Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan dalam kapasiti tersebut telah mengarahkan Datuk Mohd Said Bin Awang, Pengarah Cawangan Khas dan Amir Bin Junus, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Polis Diraja Malaysia, memperolehi kenyataan bertulis daripada Azizan Bin Abu Bakar yang dialamatkan kepada YAB Perdana Menteri, bagi menafikan dakwaan liwat untuk faedah diri kamu, iaitu bagi menyelamatkan diri kamu daripada keaiban.

(2) Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan dalam kapasiti tersebut telah mengarahkan Datuk Mohd Said Bin Awang, Pengarah Cawangan Khas dan Amir Bin Junus, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Polis Diraja Malaysia, memperolehi kenyataan bertulis daripada Azizan Bin Abu Bakar bagi menafikan dakwaan liwat dalam bentuk satu kenyataan umum bertulis, untuk faedah diri kamu di mana kamu telah menggunakannya bagi tujuan melindungi diri kamu daripada sebarang tindakan jenayah.

(3) Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan dalam kapasiti tersebut telah mengarahkan Datuk Mohd Said Bin Awang, Pengarah Cawangan Khas dan Amir Bin Junus, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Polis Diraja Malaysia, memperolehi kenyataan bertulis daripada Ummi Hafilda Bt Ali yang dialamatkan kepada YAB Perdana Menteri, bagi menafikan salah laku seks dan liwat untuk faedah diri kamu, iaitu bagi menyelamatkan diri kamu daripada keaiban.

(4) Semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan dalam kapasiti tersebut telah mengarahkan Datuk Mohd Said Bin Awang, Pengarah Cawangan Khas dan Amir Bin Junus, Timbalan Pengarah Cawangan Khas II, Polis Diraja Malaysia, memperolehi kenyataan bertulis daripada Ummi Hafilda Bt Ali bagi menafikan salah laku seks dan liwat dalam bentuk satu kenyataan umum bertulis, untuk faedah diri kamu di mana kamu telah menggunakannya bagi tujuan melindungi diri kamu daripada sebarang tindakan jenayah.

Cuma yang saya sedikit tertanya-tanya ialah, dalam kes Lim Guan Eng ini, sekiranya pada akhirnya fakta-fakta yang dikemukakan oleh laporan portal berita Free Malaysia Today ini terbukti benar, apa agaknya motif yang ada pada Lim Guan Eng bila dia meminta Tan Sri Tommy Thomas membatalkan arahan pembekuan ke atas 4 akaun bank milik Tan Sri Lim Soon Peng.

Apa agaknya faedah yang Lim Guan Eng dapat daripadanya, jika ada?

https://facebook.com/story.php?story_fbid=3293444170699618&id=100001022016761
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3293444170699618&id=100001022016761
Loading...