Anwar Terbuka Jika Mahathir Ingin Kekal Dalam Kabinet

50

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau bersikap terbuka jika Tun Dr. Mahathir Mohamad ingin kekal dalam Kabinet meskipun selepas beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Presiden PKR itu berkata ini akan membolehkan Dr. Mahathir terus menyumbang ke arah kemajuan dan pembangunan ekonomi negara.

“Saya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan, bagaimanapun saya terbuka kepada idea tersebut kerana ia akan memberi manfaat yang besar kepada negara berdasarkan pengalaman beliau yang begitu luas.

“Ia juga akan membantu dari segi mendapatkan peralihan kuasa yang lebih aman dan pada masa yang sama, menggerakkan ekonomi negara ke hadapan,” katanya kepada pemberita di luar Simposium ‘The Construct of a Nation: As I See It’ anjuran Universiti HELP di sini.

Beliau juga menegaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk menganggotai Kabinet sebelum peralihan kuasa.

Bagaimanapun, Anwar berkata sama ada beliau mahupun Dr Mahathir tidak seharusnya diberi tekanan berhubung isu peralihan kuasa.


Beliau berkata negara sepatutnya memfokus kepada isu lain seperti situasi ekonomi atau penularan jangkitan COVID-19 berbanding isu peralihan kuasa.

Ditanya sama ada beliau akan meminta tarikh yang tepat bagi penyerahan pucuk kepimpinan negara, Anwar berkata: “Tidak, kami akan mengadakan perbincangan mengenai tarikh itu.

“Perdana Menteri telah menyatakan bahawa ia akan berlaku selepas Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), jadi kami akan menyelesaikan perkara ini dan saya rasa sesiapa pun tidak patut diberi tekanan,” katanya.

Anwar menegaskan Dr. Mahathir harus diberi kebebasan untuk memerintah dan berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan keikhlasan Perdana Menteri.