Anwar Nafi Wujud Usaha Berdamai Dengan Azmin

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ada usaha digerakkan individu tertentu yang cuba mendamaikannya dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Penafian itu seolah-olah memperlihatkan krisis antara dua pemimpin PKR itu semakin meruncing, ibarat retak menanti belah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengakui ada bertemu beberapa pemimpin PKR yang dikaitkan rapat dengan Azmin, namun menegaskan perbincangan mereka tidak menyentuh mengenai perdamaian dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

“Saya memang terbuka dengan perbincangan, setiap hari saya berjumpa Ahli Parlimen, Ketua (PKR) negeri tanpa mengira daripada kumpulan mana.

“Tapi, tidak ada yang dikatakan perbincangan khusus agenda untuk berdamai kerana bagi saya parti ini satu dan ada rangka perdamaian.

“Tidak ada persetujuan begitu (Tian Chua sebagai orang tengah). Saya berbincang dengan semua, Tian Chua, R Sivarasa, Maria Chin (Abdullah) nak jumpa, Fahmi (Fadzil), Nik Nazmi (Nik Ahmad). Semalam pada majlis pengajian di rumah saya ada wakil AMK (Angkatan Muda Keadilan), Wanita (PKR) datang.

“Saya berjumpa semua dan mesej saya jangan menyulitkan kerjasama, jangan gunakan forum untuk menyerang sesiapa, muafakat untuk bangkitkan kesedaran parti dengan satu agenda,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Parlimen, hari ini.

Laporan muka depan BH hari ini melaporkan beberapa pemimpin kanan PKR sedang berunding dengan Anwar dan Mohamed Azmin yang bertelagah supaya parti itu tidak berpecah, menjelang Kongres Nasional yang akan berlangsung di Melaka hujung minggu ini.

Difahamkan antara pemimpin yang dikaitkan dengan rundingan itu adalah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, R Sivarasa.

BH difahamkan, rundingan itu diadakan selepas kumpulan dikaitkan dengan Mohamed Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Dalam pada itu, mengulas mengenai himpunan anjuran kumpulan dikaitkan dengan Mohamed Azmin, Anwar enggan melayan desas-desus mengenai perkara itu dan menegaskan, hanya satu kongres parti yang diputuskan pimpinan iaitu di Melaka.

“(Himpunan) yang lain itu tidak mewakili parti. Orang nak mesyuarat di mana pun, di hotel, terpulang. Ini negara demokrasi,” katanya.

Mengulas berhubung Kongres Nasional PKR, Anwar memaklumkan hampir 80 peratus perwakilan menyatakan persetujuan untuk hadir, selain menegaskan pemimpin parti itu diberi ruang untuk berbicara pada kongres berkenaan.

“Saya percaya mesyuarat akan diadakan dengan baik, hak pimpinan untuk berbicara. Mohamed Azmin merasmikan Wanita yang harus berikan penghormatan yang sesuai, (Datuk Seri Dr.) Wan Azizah Wan Ismail akan rasmikan AMK dan saya akan rasmikan kongres pada 7 Disember.

“Walaupun ada sedikit sebanyak gembar-gembur di media, saya yakin kerana pemimpin ini matang dan berpengalaman, tak kira daripada sosok, pengalaman dan kumpulan, akhirnya mereka tahu parti ini ditubuh sejak 1999 untuk memperkukuh agenda reformasi di negara kita,” katanya. – BH Online

Loading...