Anwar Menghadap Sultan Johor Lebih 2 Jam

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, di sini, malam tadi.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tertutup bersama Anwar yang berlangsung selama dua jam itu.

Bagaimanapun, entri berkenaan tidak mendedahkan butiran perbincangan antara mereka.

Kenderaan yang membawa Anwar tiba di perkarangan istana pada jam 10.50 malam dan pertemuan itu berlangsung sehingga tengah malam.

Turut hadir pada pertemuan itu, anak perempuan Anwar iaitu Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Sejurus pertemuan itu, Anwar mengiringi Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail ke majlis santapan sebelum beliau dan Nurul Izzah beransur pulang.

Anwar dibebaskan pada 16 Mei lalu selepas diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Beliau dibebaskan serta-merta setelah rayuan pengampunannya diputuskan Lembaga Pengampunan dan mendapat perkenan Baginda.

Anwar dijatuhkan hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, negeri Johor buat pertama kalinya jatuh ke tangan pembangkang sejak kemerdekaan negara.

Kejaraan negeri johor kini di bawah pimpinan Pakatan Harapan di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dari Parti Pribumi Bersatu. – MYNEWSHUB.CC/EZ