Anwar Jumpa Mahathir Lagi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini datang ke Pejabat Perdana Menteri untuk bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad di sebalik laporan mengenai tiada garis masa tertentu yang dipersetujui berhubung penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu.

Pertemuan tersebut berlangsung pada waktu petang beberapa jam selepas tersebarnya laporan berkenaan yang memetik Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menurut Anwar dalam akaun Facebook beliau, dalam pertemuan itu beliau membangkitkan beberapa isu antaranya rintihan nelayan dan masalah melibatkan golongan kontraktor.

“Bertemu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad petang tadi di Putrajaya. Dalam pertemuan itu saya telah bangkitkan beberapa isu antaranya berkenaan rintihan nelayan di Pulau Pinang yang membantah projek raksasa tambakan laut di selatan negeri itu.

“Isu ini memberikan dampak yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan kehidupan mereka dan saya menyampaikan hasrat kepada Perdana Menteri untuk menemui penduduk yang terlibat dengan bantahan ini.

“Selain isu nelayan Pulau Pinang, saya juga turut bangkitkan beberapa masalah melibatkan golongan kontraktor kelas menengah dan bawahan,” katanya dalam akaun media sosialnya itu sebentar tadi.

Dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review baru-baru ini, Mukhriz berkata, walaupun Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah memutuskan Dr. Mahathir dan Anwar mempunyai persetujuan mengenai rancangan penggantian itu, tetapi jangka masa selama dua tahun tidak pernah dipersetujui selama ini.

Perkara itu membuatkan Setiausaha Khas Presiden PKR, R. Suresh Kumar menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah tersebut memberikan gambaran bahawa Anwar seorang yang tamak kepada kuasa. – UTUSAN ONLINE

Loading...