Anwar Jangan Gelojoh Nak Jadi PM – Mohd Amar

KOTA BHARU – Tindakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kerap mengulangi kenyataan bakal menjadi Perdana Menteri memperlihatkan beliau gelojoh untuk menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, memang sudah sedia maklum wujud perbincangan antara Dr Mahathir dan Anwar melibatkan peralihan kuasa tersebut.

“Tindakan Anwar beritahu semua orang dia akan ganti Tun M pun tidak elok, nampak sangat gelojoh. Itu pandangan saya sebagai orang luar dari Pakatan Harapan (PH).

“Kalau semua orang boleh bertenang dan tunggu masanya, saya rasa tidak ada masalah,” katanya selepas beliau menyampaikan kuliah sesi kedua di Medan Ilmu di sini hari ini.Mohd Amar (kanan) tidak melepaskan peluang bermesra dengan rakyat yang hadir kuliah tersebut. 

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menggesa supaya isu peralihan tampuk kepimpinan negara daripada Dr. Mahathir kepada Anwar tidak terus dimainkan.

Mohamad mendakwa, isu tersebut jika terus dimainkan akan memberi kesan kepada tugas kerajaan sedia ada dalam misi memulihkan ekonomi selepas pentadbiran kerajaan terdahulu.

Mohd Amar berkata, isu peralihan kuasa perdana menteri itu tidak perlu dihangatkan lagi dan biarkan ia berlaku sebaiknya.

“Tidak elok rasanya untuk kita bercakap dan mendesak. Apa yang kita nak cepat sangat. Sekarang ini kita tengok Tun M melaksanakan tugas Perdana Menteri dengan baik. Dengan pengalaman dan kredibiliti yang ada.

“Tun sebenarnya boleh jadi ‘gam’ untuk mengikat parti-parti dalam PH. Orang lain belum tentu boleh gantikan Tun. Maka lebih baik kita tunggu bila Tun bersedia untuk lepaskan jawatannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, apa yang dibincangkan secara dalaman oleh Pakatan Harapan biarlah menjadi agenda pakatan itu.

“Buat masa ini biar mereka selesaikan. Kalau semua pihak tidak besarkan, tidak jadi isu. Orang dalaman PH sendiri yang kecoh, itu yang jadi masalah,” katanya. – Sinar Harian

Loading...