Anwar Ibrahim Tawar Diri Jadi Pengerusi PAC?

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa dirinya juga sesuai untuk menggantikan posisi Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Beliau secara berseloroh menawarkan dirinya sendiri untuk memegang jawatan Pengerusi PAC memandangkan kedudukan Ronald dipertikai oleh pembangkang dan PH.

“Secara peribadinya, saya juga boleh jadi Pengerusi PAC, hahaha, saya tak tahu itu saya serahkan kepada pimpinan PAC hari ini,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Anwar bagaimanapun, menyerahkan status kedudukan pelantikan Pengerusi PAC harus diputuskan oleh jawatankuasa PAC atau kepimpinan negara.

“Kita faham isu itu, tapi kita perlu berikan masa kepada Perdana Menteri, beliau masih di Langkawi.

“Perkara ini kerana manifesto PH sangat jelas menulis Pengerusi PAC sepatutnya diwakili daripada blok pembangkang,” jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Ronald dilantik sebagai Pengerusi PAC ketika masih bersama BN, bagaimanapun beliau kini sudah menyertai Bersatu.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada anak sulungnya, Nurul Izzah akan kembali mengganggotai PAC, Anwar berkata, mungkin boleh dipujuk.

Dalam perkembangan lain, Anwar mengharapkan Akta Perkhidmatan Parlimen yang dibincangkan dalam mesyuarat kaukus hari ini dapat dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat yang akan datang. – Sinar Harian

Loading...