Anwar Enggan Layan Desakan Mohon Maaf

GEORGETOWN – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, enggan melayan desakan sekumpulan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR yang mendesaknya supaya memohon maaf susulan pemecatan Zakaria Abdul Hamid sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu.

Malah, Anwar menegaskan sebahagian kenyataan yang dikeluarkan kononnya oleh 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu adalah tidak benar dan seolah-olah dipermainkan pihak tertentu.

“Umpamanya ada kenyataan yang dibuat kononnya oleh 20 orang, tapi sebenarnya tidak sampai pun sebab salah seorangnya hadir mesyuarat MPP dan seorang sudah dipecat jadi tinggal 18.

“Dalam kenyataan itu mereka umpamanya membantah dan mendesak Presiden untuk mohon maaf, itu menurut Tian Chua dan Sivarasa serta beberapa orang lain, ia tiada dalam kenyataan (asal).

“Maknanya kenyataan itu juga dipermainkan, tidak semuanya benar dan ini diperakui oleh mereka sendiri,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Perada Islam Confucianisme di Pusat Konvensyen Arena Spice di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Ditanya siapakah dalang yang “mempermainkan” kenyataan berkenaan, Anwar mengakui tidak tahu tetapi berkata ia ditandatangani oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Anwar bagaimanapun tidak menghalang sekiranya Zakaria ingin membuat rayuan dan pihak Lembaga Disiplin PKR boleh meneliti semula pemecatan itu.

“Rayuan saya tiada halangan, saya rasa ia adalah hak ahli. Ahli boleh mendesak supaya ia dirayu namun sebaiknya yang merayu Zakaria itu sendiri,” katanya.

Terdahulu, 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR sebulat suara menolak pemecatan Zakaria sebagai Ahli MPP parti itu dan menuntut Anwar memohon maaf.

Kenyataan bersama itu terkandung dalam memo bertajuk ‘Pemecatan Zakaria Abdul Hamid Sebagai Ahli MPP Keadilan Adalah Tidak Sah’ bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Lembaga Disiplin PKR.

Tiga daripada 20 Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkenaan ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta dua Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin dan Tian Chua.

Tujuh belas nama lain di dalam memo berkenaan ialah Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Hilman Idham dan Timbalan Ketua Wanita, Dr. Daroyah Alwi.

Ahli MPP lain termasuk Amiruddin Shaari, Datuk Mohd Rashid Hasnon, R Sivarasa, Rahimah Majid, Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah, Radzlan Jalaluddin, Datuk Dr. Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Azmizam Zaman Huri, Gan Pei Nei, Hee Loy Sian, Datuk Seri R Santhara Kumar serta Zakaria sendiri.

Pada sidang media sama, Anwar turut meminta Saifuddin membacakan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihantar kepada PKR pada 23 Oktober lalu.

Katanya, semua maklumat yang diberikan SPRM adalah sangat spesifik seperti aduan, butiran tawaran, dan di mana ia dilakukan, selain SPRM turut menyatakan bahawa ia adalah kesalahan yang perlu diambil tindakan.

Saifuddin berkata, aduan SPRM itu adalah berhubung tawaran projek membabitkan kontrak Kementerian Kerja Raya bernilai RM20,000 kepada pemimpin PKR bagi kawasan Bera pada 1 September tahun lalu, yang dilakukan di Rumah Harapan Taman Merbau, Bandar Trian, Pahang.

“SPRM memang mengaku salah hantar, dimana ia sepatutnya dihantar kepada Ketua Jabatan tetapi ia dihantar kepada parti, tetapi SPRM tidak pernah kata akan tarik balik siasatan.

“Kalau membaca isi kandungan surat itu, adakah kita perlu meminta maaf?” katanya. – BH Online

Loading...