Anwar Diminta Hadir Ke Bukit Aman Esok

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta hadir ke Bukit Aman esok untuk siasatan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinannya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sehingga kini, sebanyak 113 laporan telah diterima pihaknya berhubung kes terbabit.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan yang tersebar di media massa.

“Sehubungan itu, polis meminta beliau (Anwar) untuk hadir memberi keterangan pada 16 Oktober (esok) di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Katanya, bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, pihaknya menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita yang mempunyai kecenderungan yang boleh menggugat ketenteraman awam. – Sinar Harian

Loading...