Anthony Tidak Bijak, Pemandu Teksi Marah

KUALA LUMPUR – Pemandu teksi seluruh negara akan mengadakan protes selepas kerajaan memutuskan untuk memberikan tempoh selama tiga bulan lagi kepada pemandu perkhidmatan e-hailing yang belum mematuhi syarat ditetapkan.

Pengasas dan Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd., Datuk Shamsubahrin Ismail turut menyifatkan alasan diberikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebagai tidak bijak dan menyebabkan pemandu teksi marah.

Shamsubahrin malah mengkritik dan mengatakan Anthony telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang menteri.

“Beliau (Anthony) yang berjanji dahulu kata bermula 12 Julai, kerajaan akan kuatkuasakan undang-undang itu terhadap pemandu e-hailing tetapi beliau sendiri yang mungkir janji.

“Bukan saya yang berjanji tapi beliau nak marah saya. Anthony yang menipu semua pemandu teksi. Jadi, kami akan adakan protes sama ada di Parlimen atau Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Anthony dalam sidang akhbar di Putrajaya memberitahu pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk perkhidmatan itu dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka selama tiga bulan lagi mulai hari ini.

Jelas Anthony, kerajaan telah memutuskan agar penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan ‘soft landing’.

“Untuk tempoh tiga bulan mulai hari ini, pemandu tanpa lesen PSV atau memandu kenderaan yang tidak mematuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...