Antara Kekuatan Psikologi, Kekangan Fisiologi ‘The Pocket Rocketman’

KUALA LUMPUR – Kekuatan dari sudut psikologi membolehkan jaguh berbasikal trek negara dan juara dunia 2017 Mohd Azizulhasni Awang mengatasi kekangan dari aspek fisiologi atau sifat fizikal untuk membuktikan kemampuan diri sebagai atlet elit di persada dunia.

Sikap tidak mudah berputus asa bukan lagi rahsia kejayaan Mohd Azizulhasni, 33, yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’, malah kecekalan dan keazaman tinggi pelumba itu dalam menjalani rutin latihan lebih sedekad lalu telah membantunya mengekalkan prestasi optimum di sebalik usia semakin meningkat.

Bahkan, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil itu sentiasa memastikan dirinya dilengkapi pengetahuan sains sukan terkini dalam usaha menangani setiap cabaran dihadapi bagi mencapai prestasi terbaik dalam setiap perlumbaan.

Perkara itu diakui, Team Lead Sukan Berbasikal Olimpik, Mohd Izham Mohamad yang merupakan antara individu bertanggungjawab memantau perkembangan prestasi Mohd Azizulhasni, menyifatkan keistimewaan pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu terletak pada tahap psikologinya.

“Saya pernah menguji dan menganalisis atlet berbasikal Malaysia selain Azizulhasni secara fisiologi, namun apa yang membuatkan beliau istimewa adalah psikologinya. Beliau seorang atlet dengan pakej lengkap sebagai atlet elit terutama dalam aspek psikologi,” katanya kepada Bernama, hari ini.

“Mohd Azizulhasni sentiasa komited dan berdisiplin di dalam dan luar latihan…sentiasa berusaha memperbaiki prestasi dengan mempelajari ilmu pengetahuan kejurulatihan, latihan dan sains sukan terkini. Kami juga sering berdebat berdasarkan fakta semasa berkaitan sains, teknologi, pemakanan, sukan dan lain-lain.

“Beliau boleh memberi maklum balas tepat dan cepat bagi setiap latihan serta ujian dijalankan. Beliau merupakan “thinking athlete” yang memudahkan lagi kerja kami selaku pasukan sokongan. Itu yang membuatkan beliau istimewa,” jelasnya.

Menjelang temasya Sukan Olimpik Tokyo pada Julai depan, Mohd Azizulhasni yang menjadi sandaran merangkul emas Olimpik sulung negara, kini berada di kedudukan pertama acara pecut individu dan kedua keirin berdasarkan ranking terkini dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), baru-baru ini.

Bakal tampil buat kali keempat di temasya Sukan Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, Mohd Izham berkata kejayaan membanggakan diraih pelumba itu adalah kombinasi kemahuan diri, latihan bersistematik dan sokongan daripada aplikasi sukan dan teknologi tanpa melanggar ‘hukum sains’.

Beliau yang juga Ketua Pusat Pemakanan Sukan di Institut Sukan Negara (ISN) berkata meskipun Mohd Azizulhasni mempunyai saiz tubuh badan yang kecil, namun kelebihan beliau dari aspek teknikal, taktikal dan psikologi banyak mempengaruhi pembangunan prestasinya.

“Keunikan sukan berbasikal ini semuanya boleh dinilai dan dianalisis dari segi masa, kelajuan, kekuatan, tekanan dan sebagainya. Apabila elemen-elemen itu disatukan, kita boleh menjangkakan prestasi atlet melalui kaedah ‘modelling’ (pemodelan) dan ia banyak membantu dalam mencorakkan latihan,” katanya.

Selain pernah meraih gangsa di Sukan Olimpik dan menjadi juara dunia acara keirin, antara pencapaian membanggakan Mohd Azizulhasni adalah dua pingat emas diraih masing-masing dalam acara keirin dan pecut pada temasya Sukan Asia edisi 2010 dan 2018 serta deretan kejayaan di pentas Kejohanan Asia.

Sementara itu, peranan ISN dalam peningkatan prestasi ikon sukan negara itu tidak dapat dinafikan selepas kepakaran dalam bidang sains sukan berjaya membantu Mohd Azizulhasni menyinar di pentas antarabangsa meskipun sebelum ini kemampuannya dipersoal kerana saiz tubuh badan yang kecil.

Mohd Izham mengakui antara faktor utama boleh mempengaruhi prestasi atlet dalam acara pecut adalah saiz tubuh badan merangkumi aspek fisiologi iaitu komposisi otot yang tinggi diperlukan bagi menghasilkan daya kayuhan tinggi.

Namun, menurut beliau terdapat beberapa faktor lain memainkan peranan penting dalam sukan berbasikal trek seperti aspek teknikal, taktikal, fisiologi serta psikologi yang menyaksikan elemen tersebut dimanfaatkan sepenuhnya Mohd Azizulhasni bersama pasukannya.

“Kami merancang pelan prestasi dengan menekankan aspek teknikal iaitu aerodinamik, posisi kayuhan, peralatan basikal, pemilihan gear dan dari aspek taktikal, kami melihat kepada strategi perlumbaan dan membaca taktik pihak lawan.

“Dari sudut fisiologi pula adalah komposisi tubuh, nisbah kuasa berat atau ‘power to weight ratio’, latihan di trek dan gimnasium, pemulihan serta pemakanan selain dari aspek psikologi. Setiap elemen ini memainkan peranan penting dan menyumbang kepada prestasi beliau secara keseluruhan,” jelasnya.

Selepas 14 tahun sejak memperkenalkan diri di pentas antarabangsa pada 2007, Mohd Azizulhasni terus konsisten berada dalam kelompok pelumba berbasikal trek terbaik dunia dengan meraih pingat gangsa acara keirin dan pecut individu di Kejohanan Dunia 2020.

Beliau yang kini sedang membuat persediaan rapi di Melbourne dalam misi membawa pulang pingat emas Olimpik pertama negara, turut mengakhiri musim 2020 penuh bergaya setelah meraih pingat emas acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 di Brisbane, Disember lepas. – BERNAMA