Angkat Sumpah Menteri Besar Kedah Ahad?

MAJLIS angkat sumpah Menteri Besar Kedah Ke-14 dijangka berlangsung pada Ahad ini selepas semua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selesai mengadap Sultan Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Majlis mengadap hari ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula 10 pagi membabitkan 21 ADUN Perikatan Nasional (PN) dan dua wakil ADUN Bebas iaitu ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee.

Pada 3 petang pula, seramai 12 ADUN Pakatan Harapan (PH) masuk mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah sebelum Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi yang terakhir mengadap pada 4.30 petang.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

Mukhriz yang dilihat meninggalkan Wisma Darul Aman pada 5 petang hanya tersenyum dan melambai ke arah kumpulan wartawan yang menunggu bagi mendapatkan reaksinya.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min ketika ditanya hasil pertemuan hanya memaklumkan majlis mengadap berjalan lancar tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Mukhriz dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukan kerajaan negeri dan jawatannya pada sidang media esok.

Sementara itu, sumber memaklumkan PN Kedah semakin hampir membentuk kerajaan negeri baharu menggantikan PH selepas 23 Adun menyatakan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Mukhriz.

“Semua seperti dirancang, 23 ADUN selesai mengadap dan keputusan kini berada pada Tuanku Sultan bagi menentukannya.

“Jika ikut Akuan Bersumpah (SD), PN sudah bentuk kerajaan dan kita sudah ada keyakinan…apa-apa bergantung kepada Tuanku ketika ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut memaklumkan, mengikut jadual majlis angkat sumpah Menteri Besar Kedah Ke-14 dijangka berlangsung pada Ahad ini di Wisma Darul Aman sebelum diikuti angkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Majlis angkat sumpah (Menteri Besar) akan dibuat lusa (Ahad) di Wisma Darul Aman,” katanya.

Difahamkan, berdasarkan nama yang diserahkan Presiden gabungan parti PN, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga ADUN Jeneri dijangka dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mukhriz.

Selasa lalu, PN Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Berikutan itu, komposisi Dun Kedah menyaksikan perubahan apabila PAS kini menguasai 15 kerusi, manakala PKR (lima), Amanah (empat), Bersatu-pro Tan Sri Muhyiddin Yassin (empat), Bersatu-pro Tun Dr Mahathir Mohamad (dua), UMNO (dua) dan Bebas (dua).

Loading...