Angka FDI Semakin Menurun Cerminan Kesan Pentadbiran Terdahulu

PUTRAJAYA – Angka yang disebut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mempersoalkan mengenai pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini adalah merujuk kepada nilai pengaliran masuk sebenar FDI yang direalisasikan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata nilai tersebut direkodkan dalam dokumen Imbangan Pembayaran terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Nilai tersebut adalah satu petunjuk susulan dan ini bermakna angkanya yang rendah dan semakin menurun mencerminkan kesan usaha yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu sebelum peralihan kuasa berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 Dis di Georgetown, Pulau Pinang, Lim dilaporkan berkata FDI negara meningkat kepada RM49 bilion iaitu peningkatan hampir empat kali ganda bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Susulan itu, Najib membuat hantaran di laman Facebook beliau yang mempersoalkan pengumuman Lim bahawa FDI naik 350 peratus untuk sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lepas.

Najib berkata rujukan terhadap laporan rasmi FDI daripada Bank Negara Malaysia dan Jabatan Statistik Negara menunjukkan FDI mengalami kejatuhan teruk tiga kali ganda bagi sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Lim dalam kenyataan hari ini berkata angka rasmi daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan nilai FDI yang diluluskan bagi sektor pembuatan meningkat sebanyak RM35 bilion atau 250 peratus kepada RM49 bilion untuk sembilan bulan pertama tahun ini berbanding hanya RM14 bilion bagi tempoh yang sama pada 2017.

“FDI yang diluluskan ini adalah pelaburan oleh pelbagai syarikat antarabangsa merentas pelbagai industri pembuatan,” katanya.

FDI daripada China merangkumi 32 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, disusuli oleh FDI daripada Indonesia dan Belanda, masing-masing merangkumi 18.4 peratus dan 17.0 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, katanya.

Beliau berkata sebanyak 6.4 peratus FDI yang diluluskan berasal daripada Amerika Syarikat, Korea Selatan (5.0 peratus), Jepun (4.3 peratus) dan Singapura (2.5 peratus) juga bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Lim berkata pada Mei hingga September 2018, jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor pembuatan meningkat kepada RM35 bilion berbanding RM7.3 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Peningkatan signifikan ini membuktikan bahawa keyakinan yang tinggi dalam kalangan pelabur asing ke atas Malaysia, khususnya dengan peningkatan sebanyak RM27.7 bilion atau 379 peratus dalam jumlah FDI pembuatan yang diluluskan, selepas peralihan kuasa berlaku secara aman pada 9 Mei lalu,” katanya.

Lim berkata jumlah itu tidak mengambil kira beberapa kelulusan baharu FDI dalam sektor pembuatan seperti pelaburan RM1.5 bilion yang dibuat bagi jangka masa lima tahun akan datang oleh syarikat Micron, yang tersenarai dalam bursa saham NASDAQ di Amerika Syarikat, untuk membina sebuah Pusat Pemasangan dan Pengujian Solid-State Drive (SSD) di Pulau Pinang.

Katanya angka RM49 bilion yang dikeluarkan oleh MIDA merupakan satu petunjuk pelopor bagi potensi pelaburan untuk sektor pembuatan.

“Pelaburan FDI RM49 bilion yang diluluskan akan diambil kira pada masa hadapan dalam angka FDI yang terdapat dalam dokumen Imbangan Pembayaran apabila pelaburan tersebut direalisasikan,” katanya.

Beliau juga berkata jumlah penuh FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secara progresif dari masa ke masa dan bukan secara sekaligus.

“FDI yang direalisasikan akan mengikut jadual pembinaan kemudahan pembuatan seperti kilang-kilang yang boleh mengambil masa sehingga dua tahun,” katanya.

Lim berkata kerajaan sedang memastikan FDI pembuatan yang diluluskan akan direalisasikan secepat mungkin bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata peningkatan FDI yang diluluskan secara signifikan adalah petunjuk bahawa pertumbuhan ekonomi di masa hadapan adalah menggalakkan.

“Kerajaan akan terus menarik FDI yang berkualiti untuk mewujudkan peluang kerjaya berkemahiran dan bergaji tinggi untuk rakyat serta peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai sebahagian daripada program pembangunan vendor,” katanya. – BERNAMA

Loading...