Anggota Polis Maut Kereta Dinaiki Berlanggar Lori

BATU PAHAT – Seorang anggota polis maut apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong, di sini.

Allahyarham Sa’yon Surat, 57, yang berpangkat Sub Inspektor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian itu pada kira-kira 3 petang semalam.

Sa’yon yang bertugas di Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Allahyarham yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Polis Balai Parit Sulong, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Azhan Abdul Halim yang dihubungi berkata pemandu lori berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –BERNAMA