Anggota Polis Maut Digilis Lori Langgar Lari

NILAI – Seorang anggota polis maut digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari di Jalan Besar Pekan Nilai berhampiran simpang masuk ke Taman Rose Merah di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, Konstabel Mohd Syafiq Ramlan, 26 yang berkhidmat di Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan, maut di lokasi.

Katanya, mangsa yang beruniform lengkap, sedang dalam perjalanan dari Nilai menuju Kuala Pilah bagi bantuan tugas di Balai Pengawal Istana Seri Menanti.

“Siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal Honda Dash di belakang sebuah lori dari arah Nilai menghala ke Labu.

“Sebaik tiba di lokasi, lori berkenaan mahu membelok ke kiri, namun mangsa terjatuh ketika menekan brek menyebabkan dia terperosok di bawah lori dan digilis,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Menurut Mohd Nor Marzukee, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala akibat digilis, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori lelaki berusia 40-an dikatakan memecut kenderaan melarikan diri meninggalkan kelindannya berusia 20-an di tepi jalan,” katanya.

Menurutnya, polis sedang mengesan pemandu berkenaan dan pada masa sama, kelindan terbabit membuat laporan polis sebagai saksi kemalangan.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga di Taman Bukit Beruang Indah, Melaka untuk dikebumikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online

Loading...