Anggota Paskal Maut Terkena Bom Ikan

SEORANG anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) maut selepas terkena bom ikan di Sungai Pengkalan Merbau, Sungai Tong pada 5.45 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Zulkifli Mat Deris berkata mangsa dikenali sebagai Nur Kamarul Adnan Abdul Aziz, 32, bertugas di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak, pergi ke sungai itu kira-kira 3 petang bersama tiga anggota keluarganya, Nur Muhaimin, 35, Amirul Hakimi, 20, dan adik iparnya Mohd Rohadi Ruslan, 30, untuk menangkap ikan.

“Mangsa bersama tiga ahli keluarga turun ke sungai tersebut dengan menaiki sampan…selepas 15 minit menaiki sampan ke hilir sungai, mangsa memberitahu ahli keluarganya yang lain supaya meninggalkannya di tebing sungai dan menyuruh mereka menunggu dan memasang pukat di hilir sungai.

“Setelah memasang pukat di hilir sungai, ketiga-tiga ahli keluarga mangsa terdengar satu letupan kuat dan bertindak memanggil nama mangsa namun tidak menjawab.

“Apabila pergi ke tempat mangsa ditinggalkan, mereka mendapati mangsa terbaring dengan kecederaan di bahagian perut, muka serta kedua-dua tangan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurut Zulkifli, ahli keluarga mangsa membawa Nur Kamarul ke Klinik Kesihatan Sungai Tong dan anggota Paskal itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

Loading...