Anak Menteri PH Positif Ganja Di Kelab Malam

BONGKAR… Jika ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) sangka konon anak menteri kerajaan baharu lebih baik daripada era Barisan Nasional (BN), berita aneh ini mungkin dedah sebaliknya!

Media tempatan hari ini melaporkan bahawa anak kepada seorang menteri PH yang bapanya juga merupakan presiden parti blok itu ditahan kerana positif dadah di sebuah pusat hiburan di Jalan Ampang di ibu negara.

Suspek lelaki baru berusia 31 tahun tersebut dilaporkan berjaya ditahan oleh pihak polis dalam serbuan yang dilakukan secara mengejut menerusi Ops Pusat Hiburan Bersepadu kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Operasi dijalankan sepasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Satu sumber polis yang dipetik media tempatan mengesahkan bahawa dalam serbuan operasi berkenaan, seramai 101 individu telah diperiksa lebih lanjut yang membabitkan masing-masing 55 wanita dan 46 lelaki.

“Hasil pemeriksaan itu, dua lelaki yang masing-masing berusia 33 dan 31 tahun telah ditahan selepas didapati positif dadah jenis ganja. Salah seorang daripada yang ditahan itu pula merupakan anak kepada seorang menteri,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Agensi/Mynewshub.TV

Loading...