BARU-BARU ini kecoh di media sosial apabila anak hasil perkahwinan pertama isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Datin Azrene Ahmad meluahkan segala dipendam sejak sekian lama.
Azrene yang juga merupakan isteri kepada Cef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob itu bertindak berani mendedahkan sisi gelap sikap ibunya selain mengakui banyak memendam rasa kecewa terhadap wanita tersebut.
Malah, Azrene juga berkesempatan mendedahkan pernah menjadi ‘mangsa penjualan’ dengan perkahwinan bidaan tertinggi untuk membantu mereka sekeluarga memperoleh kelebihan dalam arena politik.
Perkara itu didedahkan kepada netizen oleh Azrene menerusi sebuah posting yang dimuat naik dalam laman sosial Instagram miliknya pada Khamis lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan lain suami aktres Mawar Rashid iaitu Raf Yaakob turut mendakwa konon Rosmah juga pernah mengambil sejumlah wang dalam anggaran jutaan ringgit daripada keluarga mereka
“Berjuta-juta mereka dah kaut daripada keluarga Raf tanpa alasan munasabah. Sudahlah kaut, periuk nasi kami semua disekat.
“Apabila kami bertanya kepada pihak tertentu kenapa keluarga kami diperlakukan sebegini, mereka hanya bilang, “maaf kami hanya terima arahan daripada atas.”
“But it’s okay, we didn’t blame the officers yang terlibat,” kata Raf menerusi sebuah entri yang dimuat naik juga dalam akaun Instagram miliknya pada Khamis.
Disebabkan tindakan kurang bijak itu, mereka telah dikritik hebat oleh ramai netizen yang kurang bersetuju dengan status tersebut dan menyifatkan ia seolah-olah sengaja membuka aib keluarga dan arwah bapa Fazley.
Malah, netizen turut mempertikaikan mengapa perlu merungkai semula cerita lama dan mempersoalkan tindakan mereka yang dilihat seolah-olah mahu menuangkan minyak tanah ke dalam api. – MYNEWSHUB.CC