Anak Mat Sabu Akan Dibicarakan Julai Ini

KUALA LUMPUR – Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Kamarulzaman Mamat mengesahkan anak kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, Ahmad Saiful Islam, 31, akan dibicarakan Julai ini.

Perbicaraan itu akan berlangsung selepas pertuduhan dibuat terhadap Ahmad Saiful di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 13 Jun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM3,000.

Ahmad Saiful, 31, ditahan pada 6 Januari lalu selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan di tingkat 12 sebuah hotel di Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 5 Januari lalu, Ahmad Saiful ditahan polis selepas didapati positif dadah di sebuah pusat hiburan dalam Ops Hiburan Bersepadu. – Astro AWANI