Anak Kura-Kura Bernilai RM52,550 Dirampas

SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 5,255 ekor anak kura-kura jenis Red Ear Slider bernilai RM52,550 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menerusi dua tangkapan berbeza pada hari Khamis lalu sekali gus menjadikannya sebagai rampasan pertama untuk tahun ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama melibatkan rampasan 2,620 ekor anak kura-kura dianggarkan bernilai RM26,200 manakala kes kedua membabitkan 2,635 ekor anak kura-kura bernilai RM26,350 yang kedua-duanya ditemui disimpan di dalam bagasi.

Menurutnya, kedua-dua adalah lelaki warga India berusia 30 dan 42 tahun yang tiba menerusi penerbangan dari Guangzhou, China.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua anak kura-kura itu diisi di dalam 16 bakul kecil sebelum diletakkan di dalam beg. Sebahagian kura-kura itu ada yang mati dalam perjalanan kerana tiada makanan dan minuman disediakan.

“Kita percaya suspek menjadikan negara ini sebagai transit sebelum anak kura-kura itu dibawa ke India semula untuk diternak di sana,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo FCZ di sini hari ini.

Zulkurnain berkata, kedua-dua suspek kini ditaham reman di Mahkamah Majistret Sepang selama 14 hari untuk siasatan lanjut dan akan dituduh dalam masa terdekat.

“Kura-kura yang masih hidup pula akan dihantar ke Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Zulkurnain berkata, pengimportan kura-kura tanpa lesen import merupakan kesalahan di bawah seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967.

Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM50,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan itu atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...