Anak Jamal Rayu Mayat Bapa Diserah Pada Keluarga

ANAK lelaki wartawan Jamal Khashoggi merayu agar mayat bapanya diserahkan kepada keluarga untuk diuruskan.

Salah Khashoggi, 35 tahun, yang baru meninggalkan Arab Saudi beberapa minggu lalu untuk ke Amerika Syarikat membuat rayuan itu dalam satu wawancara di CNN.

Salah muncul bersama adiknya, Abdullah.

Wawancara itu ialah kemunculan pertama Salah di media selepas pembunuhan bapanya pada 2 Oktober.

Salah sebelum ini dilihat bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di ibu negara Arab Saudi, dalam pertemuan yang dilaporkan Raja Salman bin Abdulaziz dan putera raja itu mengucapkan takziah dan simpati atas kematian bapanya.

Salah dan Abdullah berkata bapa mereka amat berani kerana bercakap benar tentang pemerintah Arab Saudi.

Mereka turut melahirkan rasa sedih dan resah yang amat sangat kerana masih tidak mendapat jawapan apa yang berlaku.

“Saya amat berharap apa yang berlaku padanya tidak menyakitinya, atau berlaku dengan cepat. Semoga dia mati dengan aman,” kata Abdullah, 33 tahun.

Pihak berkuasa Turki masih mencari mayat Khashoggi yang dipercayai berada di Istanbul.

Pembunuhan Khashoggi ini telah mencetuskan isu antarabangsa apabila banyak negara mula mengkritik Arab Saudi dan menjauhkan diri daripada kerajaannya.

Siasatan pembunuhan ini pula telah menjadi satu bahan tawar-menawar oleh Turki pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, yang kelihatan mahu Saudi bertindak ke atas Mohammed bin Salman dan pada masa yang sama mahu Amerika Syarikat turut bertindak. – Agensi

Loading...