Amirudin Belum Terima Surat Lembaga Disiplin PKR

SETIA ALAM – Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari, berkata beliau masih belum menerima surat daripada Lembaga Disiplin parti itu, dipercayai berhubung kenyataan berkaitan penyebaran video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sehingga sekarang Lembaga Disiplin PKR juga tidak menghubunginya berhubung perkara itu

“Tak ada, tak sampai lagi (surat). Setakat ini belum lagi, alhamdulillah tak ada,” katanya selepas menghadiri 10th University Scholars Leadership Symposium (USLS) di Seri Seria Convention Center (SACC) di sini, hari ini.

Pada 25 Julai lalu, Lembaga Disiplin PKR menghantar surat kepada Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Amirudin dan beberapa pemimpin parti itu berhubung kenyataan kontroversi dibuat mereka berhubung video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, pihak yang mendalangi penyebaran video lucah bertujuan mengaibkan dan menjatuhkan reputasi individu tertentu perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau berkata, tiada siapa boleh terlepas dan mengatasi peruntukan undang-undang di negara ini.

Pada Ahad lalu, Amirudin dan pemimpin PKR lain iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamarudin dan Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha tidak hadir mesyuarat kepemimpinan parti di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya.

Mohamed Azmin, Zuraida dan Amirudin turut tidak hadir pada Program Temu Rapat Majlis Pimpinan Pusat PKR Sesi 2018/2021 pada 20 Julai lalu di Port Dickson. – BH Online

Loading...