Amir Labuan, Dan Perancangan Hebatnya

LABUAN – Datuk Seri Amir Hussien mempunyai perancangan hebat bagi pulau bebas cukai Labuan.

Ini mudah difahami berikutan ahli perniagaan dan ahli politik berusia 47 tahun itu dilahirkan dan dibesarkan di Labuan.

Sebagai seorang yang bercita-cita tinggi, Amir mahu Labuan, sebagai sebuah wilayah persekutuan, berkembang maju seperti Kuala Lumpur dan Putrajaya dari segi pembangunan ekonomi dan sebagai tarikan pelancong.

Beliau mahu pulau bebas cukai ini yang sudahpun terkenal sebagai pusat kewangan antarabangsa dan hab minyak dan gas menjadi destinasi wajib dikunjungi oleh mereka yang bercuti, sebagai pusat aktiviti perniagaan dan ekonomi serta hab pendidikan.

Beliau juga mahu menjadikan bandar Labuan sebagai Monte Carlo halal.

Pertamanya, beliau mahu menjalin kerjasama dengan kerajaan dan penduduk untuk menggiatkan lagi ekonomi pulau ini dengan dapat menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Ini dapat dilakukan dengan sokongan kerajaan dan iltizam penduduk. Kami perlu mengembalikan kegemilangan Labuan sebagai pulau yang wajib dikunjungi dengan memiliki identiti tersendiri dalam sektor pelancongan, ditambah dengan pelaburan dan insentif menarik.

“Labuan mempunyai potensi dalam pelancongan dan pelaburan. Bagaimanapun, kami perlukan pelan strategik untuk bergerak seiring dengan agenda ekonomi nasional,” katanya kepada Bernama.

Amir berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pelabur tempatan berhubung kemungkinan membina hotel-hotel harga mampu di pulau ini, untuk pelancong antarabangsa dan domestik.

“Terdapat juga perancangan untuk menjadikan Labuan sebagai sebuah bandaraya yang seakan-akan Monte Carlo tetapi dengan konsep halal, yang akan dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan kami,” katanya.

Amir juga berkata lokasi Labuan strategik di rantau ASEAN dan faktor kedekatan dengan Sabah dan Sarawak, pulau itu mempunyai potensi untuk menjadi hab pendidikan dengan fokus terhadap program berkembar 3+1.

Beliau berkata ciri lain adalah pewujudan sebuah universiti antarabangsa dengan tumpuan terhadap sains forensik, dan juga bidang telekomunikasi, psikologi, perubatan dan bukan perubatan, dan seni bina, antaranya.

“Bagi kami, kita masih belum mempunyai sebuah universiti khusus untuk sains forensik di Asia. Bidang forensik hanya ditawarkan sebagai satu subjek di institusi pendidikan tinggi tempatan di Semenanjung Malaysia,” kata Amir yang memiliki ijazah Pentadbiran Perniagaan (pengkhususan dalam kewangan) daripada University of Arkansas.

Amir pernah bekerja dengan perbadanan multinasional. Beliau pernah menjadi naib presiden (projek-projek khas) dengan Siemens Malaysia Sdn Bhd dan pengarah akaun dan ketua pegawai operasi dengan Huawei Technologies Malaysia. Beliau juga pernah menjadi pengurus akaun dengan Time Engineering.

Selepas menimba pengalaman lebih 12 tahun, beliau menceburi industri telekomunikasi pada 2008 dengan mengambil alih firma telekomunikasi, Opcom Holdings Berhad, anak syarikat milik penuh Opcom Network Technologies Sdn Bhd.​​​​

Ketika ini beliau ialah pengerusi RE Morris Engineering Sdn Bhd dan pengarah beberapa syarikat, antaranya Opcom Network Technologies, Oscenia Network Technology Sdn Bhd dan Drachen Welle Communication Sdn Bhd serta ketua pegawai operasi Drechen Welle Engineering Sdn Bhd.

Amir, yang mendapat pengiktirafan Anugerah Perniagaan Malaysia bagi anugerah Kepimpinan Perniagaan Cemerlang pada 2017, juga anggota jawatankuasa Majlis Perniagaan Malaysia Kuwait dan Dewan Perdagangan Melayu Malaysia Labuan, serta juruaudit kehormat Ferrari Owners Club.

Beliau juga ialah ketua pro-tem Parti Amanah Negara Cawangan Durian Tunjong.

Amir percaya perniagaan dan politik adalah gabungan “rapuh” tetapi gabungan itu terbukti boleh membawa manfaat kepada kerajaan dan rakyat.

Beliau sedar banyak ahli perniagaan berjaya yang mahu memperluaskan rangkaian dan pencapaian mereka dengan menceburi arena politik. – BERNAMA

Loading...