Ambrin Tinggalkan Ibu Pejabat SPRM Selepas Lebih 7 Jam

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dipercayai memberi keterangan lebih tujuh jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Kenderaan yang membawa Ambrin dilihat meninggalkan bangunan suruhanjaya itu pada 9.30 malam dipercayai setelah dirakam keterangan berhubung siasatan mengenai pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Ambrin tiba di bangunan itu pada kira-kira 2 petang dengan menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.

Kedatangan beliau dipercayai bagi membantu siasatan susulan pendedahan Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad pada 25 November lepas bahawa laporan akhir audit 1MDB telah diubah dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahu mengenai perkara itu.

Antara lain Madinah mendedahkan bahawa dua perkara penting yang digugurkan dalam laporan itu ialah kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB serta status kewangan 1MDB.

Selain Ambrin, turut dipanggil memberi keterangan hari ini berhubung perkara sama ialah bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad. – BERNAMA

Loading...