Ambil Alih Projek NFC Dimuktamadkan Masa Terdekat

PONTIAN – Proses pengambilalihan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat selepas mengambil kira kesan perundangannya kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata, ketika ini perbincangan masih lagi berlangsung di antara kementeriannya dan juga syarikat yang menyatakan minat terhadap projek itu.

“Setakat ini yang berminat tu, ada dua tiga (syarikat) tapi yang serius, satu.

“Kita akan kaji kesan dari segi perundangan kepada MOA. Sekiranya berjalan dengan lancar dan syarikat ini boleh memulangkan kembali hutang RM250 juta (pinjaman yang diberikan kerajaan kepada NFC sebelum ini) kepada MOA, jadi why not? (setuju pengambilalihan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program “MYGREENTEAM”, projek kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LLP) dan Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Penggawa Barat di sini, hari ini.