Angin Kencang Dan Laut Bergelora Bermula Sabtu Ini

KUALA LUMPUR – Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua dijangka berlaku di kawasan perairan utara Condore, utara Reef North dan utara Palawan bermula esok (29/12) sehingga 3 Januari depan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60 kilometer sejam (km/j) sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Fenomena angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 km/j dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.5 meter juga dijangka berlaku di kawasan perairan selatan Condore, Bunguran, selatan Reef North, Layang-Layang, Reef South, selatan Palawan, Labuan dan Sabah Barat dalam tempoh sama.

Keadaan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Loading...