Amalan LGBT Tidak Boleh Dipersetujui – Zulkifli

KUALA LUMPUR – Amalan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) tidak boleh dipersetujui kerana ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam serta fitrah manusia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pada masa sama, isu berkenaan perlu dikendalikan secara berhikmah dengan sifat mendidik supaya dapat diperbetulkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan terhadap golongan LGBT, akan diperhalusi.

“Kita mesti menuju ke arah keharmonian, kebaikan serta perasaan selesa dalam kehidupan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil serta Amil Zakat Fitrah Tahun 1442H, di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Beliau mengulas bantahan kumpulan bekas penjawat awam, G25, terhadap cadangan pindaan Akta 355.

Sementara itu, Zulkifli menasihati usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang sedang dikesan polis, supaya tampil bertemu dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa.

Beliau berkata, perbincangan itu perlu bagi menyelesaikan masalah dan kekeliruan yang berlaku, sekali gus menyelesaikan isu berkenaan dengan baik. – BH Online