“ALLAH Gerakkan Hati Semua Bantu Kes Adib” – Syazlin

SHAH ALAM – Peguam keluarga anggota bomba dan penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Syazlin Mansor kini sudah boleh menarik nafas lega setelah perjuangannya selama hampir setengah tahun menemui titik noktahnya pada Jumaat lalu.

Katanya, keputusan Mahkamah Koroner benar-benar membebaskan lelah dan bebanan yang ditanggungnya selama ini setelah pelbagai rintangan yang terpaksa ditempuhinya sepanjang pembabitannya dalam memperjuangkan kes Allahyarham Adib.

“Alhamdulillah saya sudah boleh menghela nafas lega.

“Bagi saya ALLAH lah yang menggerakkan hati semua dalam membantu dan memudahkan kami dalam berhadapan dengan kes Allahyarham Adib ini,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live di ibu pejabat Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara menyentuh mengenai perasaan hibanya ketika keputusan mahkamah berkenaan diumumkan, katanya beliau memang berasa sangat sebak ketika itu.

“Kalau ikutkan sebagai seorang peguam sepatutnya kita tidak merasakan apa-apalah.

“Apa-apa keputusan sama ada memihak atau tidak memihak, sepatutnya kita terima sebab itu adalah keputusan mahkamah terima dengan reda, tapi pada saat itu saya tak dapat lari daripada perasaan sebak untuk kes ini sahaja banyak rintangan yang telah dilalui,begitu susah payah bila dapat keputusan itu rasa sangat-sangat bersyukur memang rasa alhamdulillah akhirnya keadilan untuk arwah dan keluarga,” katanya lagi.

Katanya, beliau terpanggil untuk membantu keluarga Adib kerana merasakan ‘mereka perlu dibantu’.

“Sebenarnya saya tak rasa saya seorang wira, saya rasa ini tanggungjawab, saya rasa tak ada lagi sumbangan lagi yang boleh saya berikan kepada arwah, ini kemahiran saya dan gunakan kemahiran dengan ilmu undang-undang yang saya ada ini untuk membantu arwah, tapi saya tak tahu kenapa saya terpanggil untuk membantu,” katanya.

Katanya, pertolongan yang diberikan beliau kepada keluarga Adib selama ini adalah percuma.

“Memang percuma saya tidak hantar bil kepada keluarganya dan pihak berkaitan,” katanya.

Kematian Allahyarham akibat daripada tindakan jenayah sekumpulan individu yang tidak dikenali.

Mahkamah Koroner Rofiah Mohamad membuat keputusannya selepas prosiding perbicaraan memakan masa 41 hari.

Dalam keputusannya, Rofiah berkata, kecederaan lung chest trauma dialami Muhammad Adib disebabkan arwah telah ditarik keluar dari van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS). – Sinar Harian

Loading...