Aliff Syukri Dikunjungi JKM Kerana Rotan Anak

PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan telah dikunjungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung tindakan merotan anak perempuannya, Qadejah El Zahra, 9, kerana membuka tudung.

Menurut Aliff atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 32, beliau bagaimanapun tidak sempat berjumpa dengan wakil daripada jabatan tersebut.

“Mereka ada datang di pejabat namun saya tidak sempat berjumpa.

“Mereka ada hubungi sebelum datang ke pejabat namun saya dan isteri sibuk dengan hal kerja,” kata Alif ketika ditemui Kosmo! Online pada pertunjukan fesyen Indahnya Raya keluaran AS Legacy di sini, sebentar tadi.

Ujar Alif, beliau bersedia memberikan kerjasama terhadap pihak JKM untuk melakukan siasatan lanjut.

“Saya sedar akan kesilapan saya dan bersedia memberikan kerjasama kepada pihak JKM.

“Sebelum dihubungi JKM, ada juga pihak polis menghubungi saya berhubung perkara ini dan saya sedia beri kerjasama,” kata Aliff.

Kesal dengan tindakannya yang mencetuskan kritikan dalam kalangan orang ramai, Alif berkata, dia memohon maaf atas apa yang berlaku sehingga menyebabkan beberapa pihak tersinggung.

“Saya mohon maaf apa atas apa yang berlaku tapi itu memang cara saya mendidik anak. Saya akui saya memang jahil dan banyak kekurangan.

“Mungkin orang fikir saya melakukan penderaan fizikal terhadap Qadejah tapi sebenarnya tiada sebarang kecederaan serius pun.

“Anak saya itu memang senang menangis (kuat drama). Dia manja dan perangainya saling tidak tumpah seperti saya,” katanya.

Kata Aliff, dia mempertahankan tindakannya mendidik anak dengan cara lama kerana tidak mahu menyesal pada kemudian hari.

“Zaman sekarang, macam-macam perkara boleh berlaku. Masalah sosial semakin berleluasa terutama dalam kalangan perempuan.

“Walaupun saya mengakui kesilapan, nasihat saya, sebelum menyibuk hal tepi kain orang lain, tolong jaga tepi kain sendiri terlebih dahulu,” katanya.

Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Protect and Save The Children (P.S The Children), ahli Gabungan Hak Kanak-Kanak Malaysia (CRCM) membuat laporan polis ke atas Aliff di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

Dalam satu kenyataan, NGO berkenaan berkata, perbuatan itu disifatkan sebagai penderaan fizikal dan mereka amat terkesan dengan perbuatan usahawan tersebut. – K! ONLINE

Loading...