“Alhamdulillah Ramai Yang Mahu Bantu Kami” – Peniaga Burger

KOTA BHARU – “Sejak tular kisah kami dikenakan kompaun RM50,000 semalam, saya terima panggilan telefon tanpa henti dari pelbagai pihak yang mahu membantu saya dan suami.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka ramai yang prihatin dengan masalah menimpa kami,” luah Norlaili Shafien, 37, isteri kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang dikenakan kompaun kerana berniaga melebihi masa.

Norlaili berkata, ramai yang menghubunginya untuk menghulurkan bantuan kewangan, namun setakat ini dia dan suami membuat keputusan tidak menerima sebarang bantuan itu memandangkan jumlah kompaun yang dikenakan belum diputuskan.

“Namun, ramai pelanggan burger kami yang sudah memasukkan wang kerana mereka adalah pelanggan tetap dan sudah mempunyai akaun bank kami.

“Saya dan suami bersyukur kerana kisah yang tular itu menyebabkan ramai pihak mahu membantu kami termasuk mahu menyediakan khidmat peguam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang sudah berniaga burger sejak 16 tahun lalu berkata, dia dan suami sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah pagi tadi untuk memohon rayuan bagi mendapatkan pengurangan kompaun.

“Ketika kami membuat rayuan, pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan rayuan kami akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan sehingga kini saya tidak tahu berapa jumlah kompaun yang perlu dibayar.

“Disebabkan itu, saya dan suami tidak mahu mengambil sebarang bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, sebelum kami mengetahui jumlah kompaun yang perlu dibayar.

“Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sanggup menghubungi kami sehingga lewat malam,” katanya.

Norlaili berkata, sekiranya jumlah kompaun dikurangkan kepada RM25,000 sekali pun sudah tentu dia dan suami tidak mampu membayarnya kerana hasil pendapatan mereka selama ini hanya dengan menjual burger.

“Sebelum ini kami berniaga dengan menumpang kedai makan di Tanjung Chat, namun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, kami menutup gerai dan berpindah berniaga di depan rumah.

“Saya akui kesalahan berniaga lebih waktu, namun saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami juga tidak membuka meja sepanjang PKP. Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pelanggan,” katanya.

Media semalam melaporkan, Wan Mohd Faisal meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Dia yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh PKP. – BH Online