Alhamdulillah, Masjid Nabawi Kembali ‘Ceria’

MADINAH – Ratusan ribu jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi di sini, kelmarin, iaitu yang pertama sejak perhimpunan beramai-ramai dilarang bagi menyekat penularan COVID-19.

Arab News melaporkan, kebenaran untuk menunaikan solat itu adalah sebahagian daripada perancangan membuka semula masjid di Arab Saudi secara beransur-ansur sambil memastikan jemaah dan pelawat mematuhi langkah ketat pencegahan jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, larangan memasuki kawasan Raudah masih berkuat kuasa.

Bilangan jemaah dibenarkan memasuki Masjid Nabawi pula hanya hingga maksimum 40 peratus daripada kapasiti masjid berkenaan.

Langkah berjaga-jaga juga dilaksanakan, termasuk menetapkan pintu khusus untuk jemaah masuk dan memasang kamera terma.

Selain itu, semua permaidani dialih supaya solat ditunaikan di atas lantai marmar; lantai dan pekarangan masjid disanitasi; serta kubah dan kanopi dibuka secara berkala untuk pengudaraan dalam masjid, manakala bekas air Zamzam turut dialihkan.

Masjid Nabawi akan ditutup selepas solat isyak dan dibuka semula sejam sebelum waktu sembahyang subuh.

Lot parkir beroperasi pada kadar 50 peratus daripada kapasiti dan kempen kesedaran melalui media juga dilancarkan berhubung prosedur keselamatan di kawasan suci itu.

Di samping itu, pasukan perubatan ditempatkan di pintu masuk utama masjid itu dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.

Di tempat lain negara ini, jemaah turut menunaikan solat Jumaat di masjid dengan tertakluk kepada langkah kesihatan yang ketat.

Pada 31 Mei lalu, pihak berkuasa Arab Saudi membuka semula semua masjid untuk solat, kecuali di Makkah, sebagai sebahagian daripada perancangan untuk kembali kepada kehidupan normal secara beransur-ansur.

Minggu lalu, Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan memaklumkan bahawa masjid di negara ini telah bersedia untuk menerima kehadiran jemaah semula, selepas beliau turun padang memeriksa persiapan yang perlu dilakukan.

Semua jemaah mesti mengekalkan jarak dua meter antara barisan dan memakai pelitup muka, manakala khutbah serta solat Jumaat dihadkan kepada maksimum 15 minit. – Agensi

Loading...