“Alhamdulillah Kesihatan Baik, Cuma Suara Serak” – Tok Pa

KOTA BHARU – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang disahkan positif COVID-19 Sabtu lalu memaklumkan kesihatan beliau dalam keadaan baik dan tiada batuk, melainkan suara serak. 

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli itu berkata, suhu badannya juga dalam keadaan normal dan beliau berterima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, doa serta solat hajat. 

“Di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), doktor, jururawat dan seluruh warga hospital memberikan perkhidmatan terbaik. 

“Saya juga yakin warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pasukan barisan hadapan di seluruh negara sedang melaksanakan tugas mereka dengan penuh komitmen dan tanggungjawab.

“Bagi mereka yang sedang dirawat di pusat kuarantin atau di hospital amat memahami betapa tekanan yang dirasai oleh perkhidmatan kesihatan di seluruh negara,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook. 

Mustapa berkata, sebagai salah seorang yang sedang menerima rawatan, beliau amat memahami kata-kata Perdana Meteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam iaitu demi negara, wabak itu perlu dikawal dengan penuh ketegasan. 

Katanya, pengumuman darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri hari ini amat penting bagi memastikan kita menang dalam memerangi COVID-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi. 

Beliau turut berharap Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya kerana rakyat perlukan pertolongan. 

“Dengan hanya bersatu kita boleh tangani krisis yang amat mencabar ini. Hentikan berpolitik, letakkan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan. 

“Tanggungjawab kita sebagai rakyat juga amat besar. Jangan leka daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Elak ruang sempit, elak sembang dekat dan elak tempat sesak. Sentiasa jaga jarak, cuci tangan, pakai pelitup muka. Hanya ini cara untuk elak penularan. Kita jaga kita. 

“Ya Allah, kami berlindung padaMu daripada segala penyakit dan mala petaka. Permudahkanlah urusan kami semua,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan, Mustapa disahkan positif COVID-19 selepas mendapat keputusan ujian berkenaan Sabtu lalu. Mustapa yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa kini menjalani rawatan di HRPZ II. – BH Online