Alasan Shiha Guna Khidmat Model Lelaki Tanpa Baju

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam melancarkan klip video bagi single terbaharunya, Pipiyama, penyanyi Shiha Zikir menerima kecaman daripada…

KUALA LUMPUR – Tidak sampai 24 jam melancarkan klip video bagi single terbaharunya, Pipiyama, penyanyi Shiha Zikir menerima kecaman daripada netizen.

Menerusi komen-komen yang ditinggalkan di media sosial, ramai yang mempertikaikan tindakan Shiha yang dikatakan mengeksploitasi tubuh separuh bogel seorang model lelaki dalam klip video.

Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd. Zikir, 32, berkata dia memohon khalayak menonton terlebih klip video berkenaan sehingga selesai sebelum membuat sebarang spekulasi terhadapnya.

“Jangan hanya kerana penonton melihat kelibat lelaki separuh bogel, mereka menuduh saya bukan-bukan. Sebenarnya babak model itu menayangkan tubuhnya adalah bertujuan untuk membezakan antara lelaki bujang dan duda dalam muzik video itu.

“Hal ini kerana, lelaki bujang biasanya dikaitkan dengan fizikal dan rupa paras kacak sementara lelaki sudah berkahwin atau duda mungkin penampilan kurang segak tetapi berduit.

“Saya berharap agar khalayak menonton terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian atau menghukum saya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Dicipta oleh Atra Petrana, Pipiyama merupakan single terbaru Shiha yang dilancarkan di Indonesia sekitar penghujung tahun lalu.

Shiha merupakan pemenang tempat ketiga program D’Academy Asia yang berlangsung pada 2015. – K! ONLINE

Loading...