Al-Sultan Abdullah Tokoh Inspirasi Bola Sepak Malaysia, Asia

KUALA LUMPUR – Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyifatkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai tokoh yang memberi inspirasi terhadap kemajuan bola sepak di Malaysia dan Asia.

Shaikh Salman juga secara peribadi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas sumbangan dan komitmen cemerlang baginda terhadap pembangunan bola sepak sejak beberapa dekad lalu.

“Baginda mencurahkan khidmat menerusi pelbagai kapasiti dalam bola sepak, dan banyak pihak termasuk saya akan merasakan ketiadaan peranan dan sokongan baginda.

“Kita akan sentiasa menghargai usaha baginda yang tidak mengenal penat lelah terhadap pembangunan pentadbiran profesional dan usaha mempromosi sukan berkenaan,” kata Shaikh Salman dalam kenyataan dikeluarkan pada laman sesawang AFC; www.the-afc.com today.

Shaikh Salman juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah dalam melaksanakan tugas baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan menyatakan keyakinan Malaysia dan rakyat negara ini akan terus membangun dan maju di bawah pemerintahan baginda.

Terdahulu, Shaikh Salman menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah terkenal dengan minat yang mendalam dan kepimpinan baginda dalam bola sepak dan memegang beberapa jawatan dalam AFC, termasuk Timbalan Presiden dan juga jawatan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Piala Asia AFC 2015 dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan AFC.

Baginda yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dari 2014 hingga 2017, turut mempengerusikan Pasukan Petugas Khas Tadbir Urus AFC baru-baru ini.

Loading...