Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Lima Wajah Malaysia Di...

DATUK Wira Dr. Maznah Hamid adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce. Usahawan terkenal ini...

Tak Boleh Kurangkan Pengambilan...

IPOH - Kementerian Kesihatan tidak boleh sesuka hati mengurangkan bilangan doktor dan anggota...

Perodua Sasar Jualan 209,000...

KUALA LUMPUR - Pengeluar kereta tempatan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menjangka...

Adinda Sultan Kelantan Buat...

KOTA BHARU - Adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin A’ishah Puteri membuat laporan polis...

Al Jazeera Dituntut Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia

PUTRAJAYA – Agensi berita antarabangsa Al Jazeera hari ini dituntut memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana menyiarkan fakta tidak benar melalui satu dokumentari mengenai cara negara ini mengendalikan pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19. 

Menyifatkan dokumentari itu sebagai mengelirukan, tanpa fakta jelas dan membuta-tuli, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata wartawan yang menghasilkan dokumentari tersebut  tidak beretika. 

“Sebagai  sebuah media antarabangsa, kita minta Al Jazeera menghentikan tindakan (menyiarkan dokumentari) dan mohon maaf kepada rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini. 

Sebuah dokumentari disiarkan Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak COVID-19.

Ismail Sabri berkata agensi berita itu juga melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak warga asing tanpa izin diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI). 

Menurut Ismail Sabri, realiti yang berlaku ialah kanak-kanak itu tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan bersama ibu bapa mereka. 

“Ini fakta sebenar. Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar ini bahkan atas niat tidak baik menuduh kita rasis, ini juga tidak benar,” katanya. 

Ismail Sabri juga secara tegas berkata tindakan pihak imigresen menahan pendatang tanpa izin adalah berlandaskan Akta Imigresen yang membolehkan individu yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap dan ini selaras dengan undang-undang di negara lain. 

Menteri Pertahanan itu turut mencabar Al Jazeera memberikan senarai negara yang memberikan kebebasan mutlak kepada mana-mana pendatang tanpa izin yang memasuki negara mereka. 


“Setahu saya jawapannya tidak ada. Jika (Al Jazeera) ada, tunjukkan… saya yakin tidak ada negara yang berikan kebebasan kepada warganegara asing yang tamat visa (untuk bergerak) bebas,” katanya. 

Memperincikan lebih lanjut mengenai prosedur operasi standard ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Ismail Sabri berkata layanan yang sama diberikan kepada rakyat negara ini serta warga asing, baik yang berdokumen mahupun tidak. 

“Tidak benar jika kata kita kurung pendatang tanpa izin sahaja kerana PKPD di kawasan lain seperti di madrasah tahfiz di Hulu Langat, kita juga kurung rakyat kita juga, bukan warga asing semata-mata. 

“Malah kita saring mereka dan kerajaan kita tanggung setiap ujian saringan COVID-19,” katanya, menambah seramai 68,829 rakyat asing yang mempunyai dokumen perjalanan telah disaring dan 5,729 daripadanya didapati positif dan dirawat di hospital. 

Beliau berkata bagi pendatang tanpa izin yang ditempatkan di empat depot tahanan imigresen, seramai 4,924 telah disaring dan 777 didapati positif dan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 berisiko di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang sehingga sembuh sebelum dihantar balik ke depot tahanan. 

Dalam pada itu, Ismail Sabri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong setiap langkah kerajaan dalam menangani warga asing sepanjang COVID-19. 

“Semalam, button ‘dislike’ (di YouTube) beratus ribu sehingga Al Jazeera stop (menutup) ruang komen, habis 100 peratus tak setuju,” katanya. – BERNAMA

Kategori